Darren Lok tidak berselindung mahu kembali sarung jersi Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tempoh rehat Liga Super selama lebih dua bulan sememangnya satu kebetulan yang cukup baik buat Darren Lok kerana ia memberikan lebih banyak masa kepadanya untuk pulih daripada kecederaan serius retak di bahagian fibula kaki.

Kecederaan tersebut menyebabkan penyerang PJ City itu tersisih selama tiga bulan dan tidak bermain dalam lapan perlawanan terakhir Liga Super.

Darren Lok yang mencuri perhatian penyokong bolasepak tempatan dengan meledak tiga gol dalam tiga perlawanan pertama, mengakui proses pemulihan berjalan lancar dan mengharapkan dia dapat kembali mempamer bisanya bersama ‘The Phoenix’ sebaik Liga Super bersambung pada Julai depan.

“Pemulihan saya nampaknya lebih lama daripada dijangka selain terdapat beberapa kecederaan susulan selepas itu malah saya belum boleh mencapai tahap yang membolehkan saya untuk sertai latihan.

“Namun, saya kini sedang cuba berusaha kembali ke padang latihan sebelum Liga Super bersambung dan tempoh rehat yang lama ini sememangnya satu kesempatan buat diri saya agar tidak perlu tergesa-gesa untuk pulih.

“Memang saya terasa sedikit sedih dan sukar untuk diterima kerana selepas bermain baik pada awal musim serta peluang untuk bermain, saya mendapat kecederaan yang bukan disebabkan kesalahan daripada diri sendiri sebaliknya daripada kekasaran pemain lain.

“Namun ini adalah asam garam bola sepak dan saya kena bangkit daripada apa yang berlaku, harap saya mampu kembali bantu pasukan bagi harungi baki saingan Liga Super,” kata Darren Lok.

Sebagai rekod, Darren Lok mengalami kecederaan ketika aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 17 Mac sebelum kesannya dirasai pada perlawanan berikutnya semasa membantu PJ City menewaskan Sri Pahang FC 1-0 yang mana dia hanya sempat bermain selama 25 minit.

Dia sebelum itu telah menjaringkan dua gol semasa seri 2-2 dengan Melaka United dan gol kemenangan ketika menewaskan Sabah FC.

Penyerang yang bakal berusia 30 tahun pada 18 September depan mengakui semakin selesa di PJ City kerana membuka ruang beraksi secara lebih kerap selepas sukar meraih peluang sewaktu bersama Terengganu FC musim lalu.

Dia tidak berselindung menyatakan harapannya kembali bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Selepas tinggalkan Terengganu, sememangnya saya mahu mendapatkan pasukan yang boleh memberikan lebih banyak ruang saya untuk bermain serta beraksi di posisi penyerang.

“Saya tidak kata saya patut mula dalam tiap perlawanan tetapi sekurang-kurangnya tetap diberi sedikit ruang biarpun bermula dari bangku simpanan namun sememangnya sukar kerana posisi penyerang sering kali diisi pemain import.

“Semua orang tahu saya pernah mendapat tempat dengan pasukan kebangsaan pada beberapa tahun lalu dan impian itu masih kekal sebagai salah harapan besar saya di masa akan datang,” ujar pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.