Daudsu lupakan bolasepak, kini bergelar pemain e-sports

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas tonggak pasukan Kelantan dan Kelantan United, Daudsu Jamaluddin membuat keputusan untuk melupakan bolasepak dan memilih menceburi dunia e-sukan.

Mengakui pandemik COVID-19 benar-benar memberi kesan terhadap kariernya sehinggakan dia tidak dapat mencari pasukan baru dalam Liga Malaysia musim ini setelah berakhir kontrak dengan Kelantan United, Daudsu terpaksa memikirkan solusi lain yang lebih baik untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru, pemain berusia 36 tahun itu mengambil peluang menjadikan hobinya yang gemar bermain permainan video dalam talian sebagai platform untuk menjana pendapatan apatah lagi agak sukar untuk mencari pekerjaan lain ketika ini.

Meskipun sedih terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional, Daudsu menyifatkan situasi yang tidak menentu ketika ini benar-benar menghimpit dirinya dan untuk itu, pilihan untuk berkecimpung dalam dunia e-sukan adalah yang terbaik pada masa ini.

“Selepas bermula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada tahun lepas, saya dah mula berfikir agaknya macam manalah karier saya selepas ini, dengan pasukan juga mestilah nak lebih berjimat pada musim 2021.

“Memang saya tidak nafikan, COVID-19 betul betul memberi kesan kepada sukan bola sepak, apatah lagi saya sekarang ini yang tiada pasukan untuk beraksi, dan akhirnya terpaksa memilih pelan B.

“Jadi sekarang, saya nak fokus dengan permainan video terlebih dahulu, di mana saya sekarang ada laman Facebook sendiri iaitu DwoodsuxGaming sebagai pereka video permainan dan Alhamdulillah setakat ini sudah mempunyai pengikut melebihi 8,000 orang.

“Saya harap bidang e-sukan ini dapatlah membantu sedikit sebanyak daripada segi kewangan dan semoga yang lebih baik untuk semua yang turut terjejas akibat pandemik ini,” katanya.

Daudsu antara salah seorang pemain yang sudah memiliki kesemua koleksi piala di pentas Liga Malaysia, dengan kemuncak kegemilangan kariernya adalah di antara tahun 2009 – 2013 di mana dia memenangi semua piala domestik (Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih) bersama Kelantan termasuklah melakar sejarah menjulang treble pada 2012.

Dia berhijrah ke Johor Darul Takzim pada musim 2014 dan menambah Piala AFC ke dalam koleksi kejuaraannya sebelum kembali ke Kelantan pada 2016, Marcerra United (2018), DAR Wanderers (2018) dan Kelantan United pada 2019.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.