David Rowley Taruhan Terbaru Pahang?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas mengetahui siapa pemain yang dilepaskan dan tidak lagi akan bersama pasukan, penyokong-penyokong Sri Pahang kini menanti pengumuman siapakah pemain baru yang akan memperkuatkan pasukan itu bagi musim 2022.

Belum ada sebarang pemakluman atau perkembangan terkini daripada pihak pengurusan, menyebabkan rata-rata penyokong tok gajah bimbang pasukan itu tidak berjaya mendapatkan pemain berprofil tinggi ataupun yang benar-benar berkualiti.

Mana tidaknya, bukan mudah untuk mencari pemain yang bagus yang tidak mempunyai pasukan terutama pada waktu seperti ini, boleh dikatakan kesemua pemain yang hangat di pasaran pastinya sudah disambar pasukan lain.

Menurut info yang dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Sri Pahang ketika ini dalam usaha memancing dua pemain Pulau Pinang iaitu Azwan Aripin (pertahanan kiri) dan David Rowley (tengah).

Di sebalik kejayaan sensasi Penang FC menduduki tangga ketiga Liga Super 2021, beberapa isu dalaman memaksa sebahagian besar pemain tonggak angkat kaki, termasuklah Azwan dan Rowley.

Pemain lain yang telahpun meninggalkan pasukan adalah Khairu Azrin, Amer Azahar, Azmeer Aris, Al-Hafiz Harun (kesemuanya menyertai Kedah) manakala Quentin Cheng pula tamat tempoh pinjaman dan kembali ke Selangor.

Kontrak Sheriddin Boboew tidak disambung sementara penjaga gol Samuel Somerville pula dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor namun belum ada pengesahan mengenainya.

Sebagai rekod, Azwan merupakan produk Piala Presiden Kelantan dan bermain dengan pasukan Kelantan selama beberapa musim sebelum berhijrah ke Penang pada awal tahun ini manakala Rowley pula telah bermain dengan lima pasukan berbeza sejak berpindah ke Liga Malaysia pada 2018.

Baru-baru ini, Sri Pahang mengumumkan tidak melanjutkan kontrak 14 pemain iaitu penjaga gol Helmi Eliza, Muslim Ahmad, Faisal Rosli, Arisazri Juhari, Ezanie Salleh, Zazrir Naim, Fazly Mazlan, Hazri Rozali, Faizal Rani serta lima pemain import iaitu Manuel Hidalgo, Herold Goulon, Aung Kaung Mann, Kenny Athiu dan Yakubu Abubakar.

Pasukan itu bagaimanapun akan mendapat semula sentuhan Lee Tuck dan Sergio Aguero yang tamat tempoh pinjaman masing-masing dengan Terengganu dan Perak.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.