De Jong Langsung Tak Berminat Ke United, Lebih Berminat Sertai Chelsea

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bintang Belanda, Frenkie de Jong tidak berminat menyertai Manchester United kerana dia tidak suka bandar berkenaan dan percaya kelab itu diurus dengan tidak menentu, kata laporan terbaru di Sepanyol.

United mencapai persetujuan £71.5 juta (RM381.92 juta) bersama Barcelona untuk mendapatkan De Jong namun isu membabitkan £17 juta (RM90.81 juta) tunggakan bayaran gaji dan bonus pemain tengah itu menghalang sebarang perpindahan.

Kini akhbar Sepanyol, Sport mendakwa De Jong sebenarnya langsung tidak berminat ke Old Trafford musim panas ini malah lebih suka ke Chelsea jika dia diberi tekanan untuk keluar dari Barcelona.

De Jong tidak mahu meninggalkan Barcelona tetapi gergasi Catalan itu perlu melakukannya bagi mengurangkan bebanan gaji selepas membeli pemain baharu yang semuanya berprofil tinggi – termasuk Robert Lewandowski, Raphinha, Franck Kessie dan Andreas Christensen.

Barcelona tidak menyembunyikan hasrat menjual De Jong dan dia menjadi sasaran United musim panas ini dengan pengurusan tertinggi kelab, Richard Arnold dan John Murtough dilihat berada di bandar Sepanyol itu bagi mendapatkan persetujuan.

Namun Sport mendakwa pemain itu langsung tidak minat untuk berhijrah ke Manchester, bukan bandar yang disukainya.

Media antarabangsa juga melaporkan pemain itu sangat bimbang dengan cara United berfungsi dan berkata kelab itu diuruskan dengan tidak menentu.

Faktor lain tidak memihak kepada United ialah mereka tidak mampu menawarkan bola sepak Liga Juara-Juara musim depan dan hanya berupaya beraksi dalam Liga Europa sebelum kehadiran Ten Hag.

Ketika De Jong sukar menerima kenyataan dia tidak diperlukan di Barcelona yang juga kelab impiannnya, ada laporan mengatakan Chelsea, bukannya Manchester United yang akan dipilih jika dia ke England. – AGENSI

Foto ehsan : teamtalk.com

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.