De Paula Berpotensi Rosakkan Keseluruhan Pasukan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mengambil kira pengalaman sebelum ini, kehadiran penyerang naturalisasi di dalam skuad kebangsaan berpotensi merosakkan keseluruhan pasukan.

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau dikenali sebagai Shebby.

Menurut Shebby, De Paula telah menjadi sasaran kecaman teruk berikutan prestasi buruk di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu di mana dia gagal menepati ekspetasi tinggi diletakkan malah pemain tempatan dilihat bermain lebih baik daripadanya.

De Paula hanya menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan, itupun menerusi tendangan penalti ketika menentang Vietnam namun Harimau Malaya tewas perlawanan itu.

Malah bersama Johor Darul Takzim juga dia sekadar simpanan dan jarang diturunkan justeru pemilihannya dianggap kurang tepat lantas berdepan tanggungjawab berat untuk memulihkan keyakinan penyokong.

“Saya boleh katakan de Paula jika masih lagi sama prestasinya seperti perlawanan terdahulu, dia ibarat kerana nila setitik habis susu sebelanga apabila kehadirannya akan memburukkan lagi pasukan.

“Hal ini kerana, pemilihan pemain lain kita lihat berdasarkan prestasi dan keupayaan terkini mereka bersama kelab masing-masing.

“Namun, de Paula ini, sudahlah kurang minit permainan bersama kelab, prestasinya bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini juga tidak memuaskan hingga mengundang kecaman pelbagai pihak,” katanya kepada Arena Metro.

Malaysia akan berdepan Jordan dan Uzbekistan dalam aksi persahabatan pada 6 dan 9 Oktober depan, dengan beberapa pemain utama tidak disenaraikan Tan Cheng Hoe termasuklah Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Matthew Davies dan Arif Aiman.

Dalam pada itu, Tan Cheng Hoe enggan terlalu memikirkan apa kata orang kerana sedar dia tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Saya rasa jurulatih terbaik dunia pun, kalau dia panggil mana-mana pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan akan tetap ada yang bagi komen negatif.

“Jadi, tugas kami adalah untuk membentuk pasukan terbaik bagi masa depan dan juga mendapatkan keputusan positif setiap kali kita ada perlawanan persahabatan atau pertandingan.

“Kita fokus tugas kita saja. Kita tak boleh terlalu memikirkan pandangan orang, sudah pasti kalau benda yang boleh berikan impak positif, kita terima.

“Tapi sekiranya yang tak logik, sukar juga untuk kita terima. Kita bukan nak lawan semua orang, saya pun bukan jenis yang anggap saya saja betul dan orang salah,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.