De Paula dah tua, tak sesuai jadi naturalisasi, Cabrera pilihan lebih baik – TMJ

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap Guilherme De Paula bukan calon sesuai untuk dinaturalisasikan dan menyarung jersi Harimau Malaya, kerana faktor usia.

Sebagai rekod, Guilherme De Paula melengkapkan syarat naturalisasi pada pada 31 Mei baru-baru ini, dan terus dihadiahkan kap sulung bersama Harimau Malaya ketika menentang Emiriah Arab Bersatu pada 4 Jun dalam aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bagaimanapun penampilan sulungnya itu menerima kritikan dan kecaman hebat, bukan sahaja kerana dia gagal memberi impak tetapi bermain seolah tiada jiwa, malah lebih banyak berjalan di atas padang sehingga dilabel sebagai ‘pemalas’.

Tunku Ismail berpendapat, walaupun Guilherme De Paula penyerang yang bagus, usianya yang sudah 35 tahun mengehadkan pemain itu dari menterjemahkan potensi terbaiknya.

“Saya tiada apa-apa isu dengan De Paula, dia pun pemain saya. Cuma apabila kita naturalisasikan dia, umurnya tidak sesuai untuk diberi peluang terbabit. Kita kena cari untuk jangka masa panjang di mana mereka boleh bermain sekurang-kurangnya empat atau lima tahun untuk skuad kebangsaan,” ujar Tunku Ismail.

Selain Guilherme De Paula, dua lagi pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan adalah Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi – kedua-duanya turut bermain dengan JDT.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail juga menyatakan keyakinan bahawa seorang lagi pemain harimau selatan, Gonzalo Cabrera, yang berusia 32 tahun adalah pilihan yang lebih baik untuk menyarung jersi kebangsaan apabila dia dinaturalisasikan pada tahun depan.

Cabrera pemain kelahiran Argentina yang turut memegang passport Iraq telah menyarung jersi JDT sejak tahun 2017.

“Gonza pula akan jadi aset pasukan kebangsaan kerana dia boleh bermain sebagai penyerang tengah, di belakang penyerang, sayap kiri, ‘False 9’ dan pemain tengah menyerang. Dia ada kualiti khususnya untuk menjana serangan ke depan.

“Saya rasa dia akan ada impak yang besar untuk skuad kebangsaan. Begitu juga dengan Endrick (Dos Santos) atas faktor usianya kalau dia diperlukan dalam skuad kebangsaan,” kata Tunku Ismail lagi.

Antara pemain lain yang berpotensi dinaturalisasikan pada masa akan datang adalah Romel Morales, Sergio Aguero, Lee Tuck, Argzim Redzovic, Leandro Dos Santos dan Bae Beom Geun, namun tidak semestinya setiap yang dinaturalisasikan akan mendapat penghormatan untuk mewakili pasukan negara.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.