Dua penyerang veteran sensasi Guilherme De Paula dan Norshahrul Idlan Talaha kembali memperkuatkan pasukan kebangsaan apabila disenaraikan Kim Pan-gon bagi latihan pusat bermula 19 Mei.
Latihan pusat kali ini adalah sebagai persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Brunei (27 Mei) dan Hong Kong (1 Jun), serta pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2023 pada bulan Jun nanti.
Selain dua pemain itu, Kim Pan-gon turut menyenaraikan semula Matthew Davies, Darren Lok, Nazmi Faiz Mansor, Junior Eldstal, Afiq Fazail, Syahmi Safari serta memanggil penjaga gol Negeri Sembilan yang sedang berada pada prestasi cukup baik, Ahmad Syihan Hazmi.

De Paula yang tidak mendapat tempat dalam skuad JDT di Liga Super, kali terakhir mewakili pasukan negara ketika Piala AFF 2020 pada Disember tahun lalu.
Manakala Norshahrul Idlan Talaha yang kini bersama Melaka United pula seringkali berada dalam senarai bersedia walaupun kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun 2019.
Pemain regular yang mengejar 100kaps antarabangsa, Aidil Zafuan Abd Radzak pula digugurkan bersama-sama Ramadhan Saifullah dan Zhafri Yahya namun ketiga-tiga mereka berada dalam senarai bersedia.
Khidmat Luqman Hakim, Hadi Fayyadh dan Quentin Cheng pula tidak dapat digunakan kerana masing-masing ketika ini bersama skuad B-23 negara di Sukan SEA 2021 dan selepas ini akan beraksi pula di Kejuaraan AFC B-23 pada bulan Jun.
Di pusingan kelayakan nanti, Malaysia telah diundi menentang Turkmenistan (8 Jun); Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Sebelum ini Kim Pan-gon ada mengatakan bahawa sasarannya adalah untuk mendapatkan tujuh mata untuk layak ke Piala Asia.
Kali terakhir Malaysia beraksi di pertandingan tersebut adalah pada tahun 2007 atas tiket sebagai tuan rumah.