De Paula : “Kalau serang saya dengan fakta, tiada masalah”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Guilherme De Paula tampil buat kali pertama berdepan media Malaysia selepas kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 4 Jun lalu.

De Paula antara yang paling teruk dikecam selepas kekalahan itu berikutan aksi suram dan ‘tidak ada jiwa’ malah dia juga banyak berjalan di atas padang menyebabkan penyokong melabelnya sebagai pemalas.

Pemain berusia 35 tahun berasal dari Brazil itu mengakui dia juga diserang di media sosial apabila menerima terlalu banyak mesej daripada penyokong yang bukan sahaja menghentamnya tetapi juga keluarganya.

De Paula berkata dia terbuka menerima kritikan namun kecewa kebanyakan yang mengecamnya melontarkan kritikan tidak berfakta.

“Kalau orang memberi kritikan ia normal bagi saya. Mereka memberikan kata-kata buruk di media sosial, mereka boleh cakap kepada saya dan boleh hantar mesej setiap masa dan setiap hari.

“Saya tidak boleh kawal apa yang orang cakap dan katakan, saya hanya boleh kawal diri saya. Saya datang dari Brazil dan Brazil lebih dari ini, mereka boleh katakan apa saja kepada saya, ia normal. Saya ambilnya seperti motivasi.

“Ini bukan kali pertama, saya di sini (Malaysia) gembira dan saya sangat bangga menyarung jersi pasukan kebangsaan Malaysia, saya suka Malaysia dan rakyatnya.

“Orang meletakkan harapan yang sangat tinggi, sesetengah orang menyerang saya, sesetengah lagi hanya mengikut komen. Jika cakap dengan fakta tiada masalah, jika tidak berdasarkan fakta dan hanya menyerang ia tidak bagus.

“Namun, saya meletakkan motivasi saya pada tahap tinggi dan saya tidak melihat ke belakang mengenai apa yang sudah berlaku,” kata De Paula dalam sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

Sementara itu, De Paula berharap  penyokong bolasepak tanah air tidak putus harapan dengan peluang skuad negara melangkah lebih jauh dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Harimau Malaya membawa misi wajib menang dalam dua aksi berikutnya menentang Vietnam dan Thailand, dan De Paula meminta penyokong mempercayai kebolehan mereka untuk melakukan kejutan sambil memberitahu mereka ke Dubai bukannya untuk ‘makan angin’.

“Apabila anda bermain dengan pasukan kebangsaan, harapan sangat tinggi. Istimewa bagi saya kerana ada tiga pemain naturalisasi dan harapan tinggi buat kami. Orang mahu melihat apa sumbangan yang boleh diberikan kepada pasukan kebangsaan, tapi saya tahu kualiti saya dan apa yang saya boleh buat di atas padang.

“Percaya pada tugas kami, tiada siapa yang datang ke sini untuk bercuti. Kami bekerja keras setiap hari, setiap pagi dan setiap sesi. Kami bermain untuk lebih 30 juta penyokong,” ujar pemain Johor Darul Takzim itu.

Skuad negara ketika ini di kedudukan keempat Kumpulan G dengan sembilan mata.

Foto : Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.