De Paula Yakin Malaysia Boleh Tumbangkan Bahrain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Aksi fantastik ditunjukkan ketika membenam Turkmenistan, memberi keyakinan kepada penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula bahawa skuad Harimau Malaya boleh tampil lebih hebat di pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2023.

Skuad negara mendominasi sepenuhnya tempoh 20 minit pertama perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, sebelum Turkmenistan bangkit mengimbangi permainan dan jelas ia membantu Harimau Malaya untuk mencatat keputusan positif.

Gol Safawi Rasid, Faisal Halim dan Corbin Ong mengesahkan kemenangan buat skuad Kim Pan-gon, sekaligus membolehkan mereka menerajui Kumpulan E dengan beza jaringan ke atas Bahrain yang menewaskan Bangladesh 2-0.

De Paula yang dimasukkan pada lewat permainan oleh Kim Pan-gon, mengakui dia kini cukup teruja dengan kekuatan semasa Harimau Malaya dan motivasinya juga melonjak naik dengan sokongan padu yang diberikan.

“Saya rasa kita mampu untuk menewaskan Bahrain dan kita akan turun dengan sepenuh kekuatan, dan kita akan lihat siapa lebih kuat, sudah tentu sasaran peribadi saya adalah untuk layak ke Piala Asia.

“Dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong kami semua bersemangat untuk beraksi lebih daripada 100 peratus. Apa yang boleh saya katakan ialah saya bangga berada di negara ini dan saya bangga mewakili Malaysia,” ujar penyerang pujaan ramai itu selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Corbin Ong pula menyifatkan jaringan dilakukannya pada perlawanan menentang Turkmenistan adalah yang terbaik sepanjang kariernya.

Pemain Johor Darul Takzim itu melakukan larian solo dari kawasan sendiri dan memperdayakan beberapa pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, dan bergolek masuk ke gawang.

“Gol hari ini (malam tadi) jaringan terbaik yang pernah saya lakukan, tetapi setiap jaringan adalah penting dan setiap gol akan dapat membantu pasukan. Sudah sekian lama saya tidak menjaringkan gol seperti ini, tapi yang penting saya sangat gembira dapat membantu pasukan,” katanya.

Ia adalah gol kedua Corbin Ong dalam jersi Harimau Malaya, setelah turut menjaringkan gol ketika Malaysia membelasah Timor Leste 7-1 pada 2019.  

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.