Mengimbau 5 final terakhir dari Euro 2000 ke Euro 2016

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bermula 12 Jun hingga ke 12 Julai depan, tumpuan penyokong bolasepak di seluruh dunia akan beralih ke saingan Euro 2020 yang berlangsung selepas setahun ditangguhkan.

24 pasukan termasuk juara bertahan Portugal dan tujuh bekas juara berentap untuk menentukan siapakah ‘raja Eropah’ dalam saingan yang berlangsung di 11 buah negara ini.

Jerman merupakan pasukan paling berjaya dengan muncul juara dan naib juara masing-masing sebanyak tiga kali, disusuli Sepanyol (3 kali juara, 1  naib juara) dan Perancis (2 kali juara, 1 naib juara).

Labola Malaya membawa anda mengimbau semula lima aksi final terakhir Euro, bermula dari Euro 2000 hingga ke Euro 2016.

Gol Emas Trezeguet julang Perancis sebagai juara Euro 2000

Perancis dan Itali bertemu dalam perlawanan akhir, mengulangi pertembungan kedua-dua pasukan di pusingan suku akhir Piala Dunia 1998.

Itali hanya beberapa saat dipisahkan daripada menjulang kejuaraan Euro buat kali pertama sejak 1968, setelah Marco Delvechio menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-55 setelah menyudahkan hantaran lintang Gianluca Pessoto.

Tatkala skuad bimbingan Dino Zoff menanti wisel penamat untuk dibunyikan, Sylvain Wiltord yang masuk menggantikan Christopher Dugarry, meledak jaringan penyamaan pada minit keempat masa kecederaan setelah percubaannya gagal diselamatkan Francesco Toldo, sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

David Trezeguet kemudiannya muncul wira Perancis, setelah meledak gol emas dengan menyudahkan hantaran Robert Pires pada minit ke-104.

Perancis menang 2-1 sekaligus menjulang trofi Euro buat kali kedua, manakala tonggak Itali, Francesco Totti dinobatkan pemain terbaik perlawanan.

Greece lakar sejarah gemilang juarai Euro 2004

Antara kejutan terbesar disaksikan di salah satu kejohanan utama bolasepak dunia, apabila Greece yang turun sebagai pasukan ‘underdog’ menjulang trofi buat pertama kali.

Ia perjalanan penuh epik buat Greece yang hanya tampil di Kejohanan Euro buat kali kedua, mereka memulakan dan menutup kejohanan dengan menewaskan barisan bintang Portugal, yang juga pasukan tuan rumah.

Dalam laluan ke final, Greece turut menyingkirkan juara bertahan Perancis di suku akhir, dan bekas juara Republik Czech di separuh akhir.

Dalam aksi final bersejarah di Lisbon, jaringan Angelos Charisteas membolehkan Greece menang 1-0 ke atas Portugal yang ketika itu dibarisi bintang bolasepak terkemuka dunia seperti Luis Figo, Costinha, Nuno Gomes, Deco, Rui Costa dan Ricardo Carvalho, manakala Cristiano Ronaldo yang berusia 19 tahun membuat penampilan sulungnya di kejohanan besar.

Jaringan Fernando Torres pastikan Sepanyol juara Euro 2008

Sepanyol seringkali gagal menepati ekspetasi di kejohanan besar, tetapi tidak di Euro 2008.

Skuad yang ketika itu dibimbing Luis Aragones muncul juara dengan menewaskan Jerman 1-0, menerusi jaringan tunggal Fernando Torres pada minit ke-33.

Sepanyol yang dibarisi pemain generasi emas mereka seperti Iker Casillas, Carles Puyol, Xabi Alonso, Andres Iniesta dan Xavi turut mencipta rekod membanggakan apabila menjadi pasukan pertama selepas Jerman pada 1996, untuk memenangi kejohanan tanpa tewas.

Sepanyol kekalkan dominasi di Euro 2012

Sepanyol menjadi pasukan pertama mengekalkan kejuaraan Euro untuk dua kali berturut-turut, dan pasukan pertama untuk memenangi tiga kejohanan besar secara berturut-turut (Euro 2008, Piala Dunia 2010, Euro 2012).

Pasukan dibimbing Vicente Del Bosque menewaskan Itali 4-0 menerusi jaringan David Silva, Jordi Alba, Fernando Torres dan Juan Mata, ia merupakan kemenangan terbesar pernah disaksikan dalam aksi final Euro.

Sepanyol dan Itali terlebih dahulu bertemu dalam aksi pembukaan Kumpulan C yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Cristiano Ronaldo akhirnya menang trofi bersama Portugal

Cristiano Ronaldo mengetuai Portugal untuk akhirnya memenangi kejohanan besar pertama mereka, walaupun pada satu ketika hampir sahaja tersingkir di peringkat kumpulan.

Euro 2016 merupakan kali pertama 24 pasukan mengambil bahagian berbanding lazimnya 16 pasukan. Sepanyol yang merupakan juara dua edisi terdahulu tersingkir di pusingan kedua.

Portugal menamatkan aksi Kumpulan F dengan tiga keputusan seri, menduduki tangga ketiga kumpulan dan layak ke pusingan kedua atas tiket salah satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik.

Portugal pada hakikatnya mencatat hanya satu kemenangan (permainan 90 minit) dalam laluan ke final, iaitu menewaskan Wales di separuh akhir. Di pusingan kedua mereka menewaskan Croatia dalam masa tambahan, di suku akhir menewaskan menewaskan Poland menerusi tendangan penalti.

Dalam aksi final, mereka menewaskan Perancis 1-0, juga bukan dalam 90 minit, sebaliknya jaringan masa tambahan Eder Macedo Lopez.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.