Devan bangga pemain tunjukkan kualiti bolasepak berbeza menentang JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

PJ City FC menyekat momentum kemenangan Johor Darul Takzim apabila memaksa pendahulu Liga Super itu berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat.

Safawi Rasid meletakkan JDT di depan pada minit ke-35 sebelum Christie Jayaseelan menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Penalti K.Gurusamy pada masa kecederaan separuh masa pertama membantu PJ City FC pula merebut pendahuluan, tetapi hanya dua minit kemudian kedudukan kembali terikat selepas Gonzalo Cabrera menyempurnakan penalti.

Separuh masa pertama berakhir 2-2 dan tiada tambahan jaringan pada babak kedua.

Baca : Devan tidak akan main bertahan walaupun berpotensi dilaukkan JDT

“Saya cukup bangga dengan pasukan saya, pemain-pemain saya menunjukkan kualiti bolasepak yang berbeza menentang pasukan terbaik di Malaysia.

“Ia bukan perlawanan yang dikuasai satu pasukan, kita mengimbangi permainan, bertahan dengan baik dalam masa sama turut melakukan serangan dan berjaya menjaringkan dua gol.

“Kredit kepada pemain saya, mereka bermain mengikut game plan dan kita meraih satu mata yang cukup berharga,” ujar K.Devan selepas perlawanan.

Jurulatih berpengalaman luas yang pernah tiga kali menjulang trofi Liga Super itu mengatakan keputusan perlawanan mungkin berbeza jika mereka berjaya mengekalkan kelebihan 2-1 di separuh masa pertama.

“Penalti yang mereka dapat selepas kita menjaringkan gol kedua adalah terlalu cepat, kita skor pada masa kecederaan di mana separuh masa pertama sudah hampir tamat dan jika kekalkan kedudukan 2-1, mungkin separuh masa kedua menjadi lebih baik,” ujar Devan lagi.

Dengan lapan mata dari sembilan perlawanan, sasaran awal musim ditetapkan PJ City FC untuk menghuni kelompok lima pasukan teratas Liga Super boleh dikatakan terlalu tipis.

Tetapi Devan menegaskan sasaran buat masa ini adalah untuk menamatkan saingan di kedudukan lebih baik berbanding tahun lalu.

Pada 2019 PJ City FC berkesudahan di kedudukan kelapan Liga Super, justeru Devan mensasarkan kemenangan pada dua aksi terakhir menentang Uitm FC dan PDRM FA untuk mencapai sasaran tersebut.

Foto kredit : PJ City FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.