Devan tidak akan main bertahan walaupun berpotensi ‘dilaukkan’ JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Meskipun menyedari kegarangan barisan depan Johor Darul Takzim (JDT) yang telahpun meledak 17 gol dalam empat perlawanan terakhir, jurulatih PJ City K.Devan tetap akan mengamalkan corak permainan menyerang apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium MBPJ pada Jumaat.

Sejak liga kembali bersambung JDT menang 3-2 ke atas Pahang, 7-0 ke atas Perak, 1-0 ke atas Terengganu dan 6-1 ke atas Selangor justeru membuatkan semua bakal lawan mereka berhati-hati agar tidak menjadi lauk Harimau Selatan yang seterusnya.

Tetapi Devan mengakui mereka berada dalam keadaan terdesak mencari kemenangan ekoran kedudukan pasukan yang kini berada di tangga kesepuluh di samping hanya satu mata memisahkan ‘The Citizens’ daripada Sabah yang berada dalam zon penyingkiran.

“Kami tiada pilihan lain perlu dapatkan tiga mata dalam perlawanan ini untuk jauhkan diri daripada zon penyingkiran dan kami tidak akan turun bermain secara bertahan sahaja walaupun tahu lawan adalah pasukan terbaik dalam liga jika disentuh aspek serangan.

“Jika kami memilih untuk bertahan, cara ini tidak akan membantu pasukan sebaliknya kami perlu kurangkan kesilapan ketika lakukan serangan dan semua pemain perlu tanamkan minda untuk bermain secara menyerang, ” kata K.Devan.

PJ City memulakan musim dengan keyakinan tinggi terutama selepas mengejutkan Pahang pada perlawanan kedua untuk satu-satunya kemenangan mereka musim ini tetapi selepas itu gagal mengekalkan momentum dan tidak menang dalam enam perlawanan terakhir.

Motivasi tunggal buat Devan dalam meniupkan semangat anak buahnya ialah kemenangan yang pernah dilakar pada musim lalu ke atas juara enam kali CIMB Liga Super itu di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Biarpun rekod pertemuan memihak kepada JDT dengan tiga kemenangan berbalas satu (termasuk dua aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia), Devan mengharapkan pemainnya percaya pada diri sendiri yang mereka mampu melakar kejutan.

Satu-satunya perkara yang menggusarkan Devan ialah sentuhan penyudah yang tumpul sehingga membantutkan peluang mereka melakar beberapa kemenangan dalam perlawanan sebelum ini.

Berdasarkan statistik, PJ City hanya mampu meledak tujuh jaringan sepanjang saingan liga dengan tiga daripadanya pada lima aksi terakhir pasukan itu sejak 22 Ogos lalu.

“Kami banyak mencipta peluang dalam perlawanan sebelum ini tetapi pada aspek penyudah, pemain-pemain saya agak kurang menjadi dan perkara ini yang saya sedang perbaiki.

“Selain itu, kami juga ketiadaan (Demba) Camara kerana dia masih di Guinea bagi selesaikan isu peribadinya dan kami berada dalam keadaan kurang berkelebihan kerana hanya dapat menurunkan empat pemain import.

“Saya tetap optimis yang kami masih boleh perbaiki pencapaian di tangga kelapan pada musim lalu dengan cuba dapatkan tujuh atau sembilan mata apabila berdepan JDT, UiTM dan PDRM,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.