Dibuang SSBJ Gagal Padam Api Dalam Diri Azri Ghani Untuk Bangkit Tempa Nama

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Azri Ghani, antara penjaga gol muda meningkat naik dalam saingan Liga Malaysia dan namanya turut disenaraikan Brad Maloney dalam skuad B-23 kebangsaan yang ketika ini sedang dalam persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 pada hujung bulan nanti.

Penjaga gol produk Piala Presiden Felda United ini merupakan salah seorang tonggak skuad juara Piala AFF B-19 pada 2018 dan mengorak langkah besar dalam karier dengan menyertai Kedah pada tahun lalu, sebelum berhijrah ke Perak tahun ini.

Begitupun mungkin tidak ramai yang tahu, pemain ini pernah dibuang dari sekolah kluster sukan terulung negara, Sekolah Sukan Bukit Jalil di awal dia mahu bertatih kerana tidak cukup tinggi sepertimana didedahkannya kepada Cakap Sukan.

“Dalam keluarga, hanya saya seorang sahaja yang aktif bola sepak, tetapi arwah ayah (Ab Ghani Samah) merupakan peminat bola sepak. Alhamdullilah semua memberi sokongan dengan pilihan saya untuk serius dalam sukan ini.

“Impian memulakan langkah membuak-buak, lebih-lebih lagi mendapat tawaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada usia 13 tahun, namun penghujung tahun saya ‘ditendang’ kerana tidak cukup tinggi.

“Saya dulu sangat pendek… jadi terpaksa balik ke kampung dengan penuh kecewa. Setahun kemudian ayah meninggal dunia kerana sakit jantung. Tambahlah lagi kesedihan saya ketika itu.

“Namun saya tidak berputus-asa, saya sambung bersekolah di Sekolah Menengah kebangsaan Putra sehingga tamat tingkatan lima.

“Selepas SPM saya merantau ke Kuala Lumpur mencuba nasib dalam sesi pemilihan pemain pasukan bola sepak di PKNS dan Felda United.

“Alhamdullilah terpilih bersama Felda United selama tiga tahun dan secara langsung kerjaya pertama bergaji. Ketika ini memang saya bersyukur, sangat gembira kerana pada masa sama dengan pendapatan ini saya boleh membantu keluarga.

“Saya bukanlah dari keluarga senang, dan saya yakin pilihan saya untuk bergelar pemain bola sepak adalah tepat. Saya tidak tahu nak kerja apa lagi selain main bola sepak,” ujar pemain kelahiran Kelantan ini.

Baca : Sertai Perak Kerana Minit Permainan, Namun Azri Ghani Masih Menunggu Kap Sulung

Berusia 22 tahun, Azri Ghani yang menjadikan Farizal Marlias sebagai idola ini tidak menafikan mempunyai hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya satu hari nanti.

“Namun saya tidak terlalu ‘push’ kerana ianya bukan mudah. Saya perlu buktikan diri saya di tahap yang terbaik.

“Saya masih lagi muda, dan akan menggunakan masa yang ada untuk mempelajari lebih mendalam ilmu bergelar penjaga gol terbaik.

“Malah kalau ada peluang juga saya ingin mencuba nasib di luar negara, sekurang-kurangnya di pentas Asean… langkah demi langkah.

“Saya memang bertekad mahu menjadi pemain bola sepak paling berjaya dan menjadikan penjaga gol senior Farizal Marlias sebagai idola tempatan. Manakala David de Gea adalah pemain paling saya suka tengok. Setiap kali ada kelapangan, saya akan kaji cara dia beraksi, gerak tubuh dia, komunikasi di padang dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.