Dickson : ‘Kalau mahukan saya, kena bantu saya bermain lebih kerap’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme baru-baru ini telah mengumumkan bahawa perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia menentang Kedah adalah aksi terakhirnya bersama pasukan itu, tatkala dia mengucapkan selamat tinggal penuh emosi kepada penyokong tok gajah.

Tetapi pemain berusia 34 tahun dari Nigeria itu, sebolehnya mahu kekal bermain di Liga Malaysia dengan mensasarkan untuk beraksi dengan pasukan yang boleh membantunya untuk bermain dengan lebih kerap.

Adalah diketahui, Dickson Nwakaeme tidak mengharungi perjalanan karier yang baik sejak kembali menyarung jersi Pahang pada musim 2019 kerana lebih banyak menghabiskan masa merawat kecederaan berulang.

Dalam aksi Liga Super 2020 dia hanya bermain dalam tujuh perlawanan sahaja daripada 11 perlawanan keseluruhan – cuma dua kali bermain penuh 90 minit – dan lebih malang, dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, minit permainan terkumpul pemain itu tidak sampai pun 30 minit.

Dia cuma menjaringkan dua gol, itupun satu menerusi tendangan penalti dan seringkali menjadi sasaran kritikan penyokong yang menganggap sumbangannya tidak padan dengan status pemain import.

Mengakui setiap penyokong ada hak untuk menyatakan pandangan mereka, Dickson Nwakaeme berpendapat dia mungkin boleh buat lebih baik jika bermain dengan pasukan yang mempunyai fasiliti lengkap, terutama membantu proses pemulihan.

“Saya perlukan pendekatan berbeza (dalam hidup) dan sekiranya saya meneruskan (karier), saya mahu terus bermain di Malaysia sebab sudah selesa jadi tidak perlu (ambil masa) menyesuaikan diri lagi.

“Sebuah pasukan yang mahukan saya itu perlu sudah bersedia, misalnya mempunyai kemudahan yang boleh membantu saya beraksi lebih kerap. Pahang sedang ke arah itu dan mereka bakal menjadi sesuatu yang berlainan di Malaysia satu hari nanti tetapi ketika ini, mereka belum lagi bersedia,” katanya kepada Nadi Weekend.

Sebagai rekod, Dickson Nwakaeme diperkenalkan ke Liga Malaysia oleh Kelantan pada 2013 tetapi dia mencipta nama bersama Pahang apabila membantu mereka menjulang Piala FA dan Piala Malaysia pada 2014.

Selepas dua musim bermain dengan tok gajah, dia berpindah ke kelab Perancis dan kembali ke Pahang pada 2019.

Foto ihsan : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.