Dickson Nwakaeme ucap selamat tinggal penuh emosi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia menentang Kedah sah menjadi aksi terakhir penyerang import, Dickson Nwakaeme dalam jersi Pahang.

Penyerang dari Nigeria itu mengucapkan selamat tinggal kepada Pahang yang kembali diwakilinya pada 2019 dalam nada penuh emosi, sambil mengakui ia bukan pengakhiran yang diimpikannya kerana gagal membantu pasukan meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Pahang tewas 2-3 menentang Kedah dalam aksi di Darul Aman dengan Dickson Nwakaeme gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-80 setelah rembatan kencangnya terkena palang, ketika kedudukan 1-3.

“Saya mengambil tanggungjawab atas kekalahan kepada Kedah, apa sahaja yang anda mahu katakan kepada sesiapa, katakannya kepada saya.

“Ketika semuanya nampak bagus dan anda semua memuji saya pada setiap perlawanan, saya terimanya dengan gembira dan saya tidak keberatan untuk menerima sebarang kritikan dengan perasaan yang sama kerana saya tahu pemain-pemain telah memberikan yang terbaik.

“Kita cuma tidak bernasib baik untuk tewas kepada sebuah pasukan yang sangat bagus, dan saya tegaskan saya sentiasa cuba memberikan aksi terbaik setiap kali menyarung jersi Pahang, cuma kadangkala apa yang kita anggap sebagai terbaik itu tidak memadai,” ujar Dickson Nwakaeme.

Tambahnya, “Ia tambah menyedihkan kerana ini adalah perlawanan terakhir saya dalam jersi Pahang, sudah tentu saya tidak mahu ia berakhir begini. Terima kasih atas peluang yang telah diberikan, ‘orang besi’ anda undur diri. Pahang selamanya dalam ingatan.”

Dickson Nwakaeme pada hakikatnya tidak mengharungi musim 2020 yang baik, dia lebih banyak menghabiskan masa di bilik rawatan kerana kecederaan berulang dan menjadi sasaran kritikan penyokong.

Dalam musim pendek Liga Super yang mana hanya 11 perlawanan berlangsung, Dickson cuma bermain dalam tujuh perlawanan, hanya dua kali bermain penuh 90 minit, dan menjaringkan dua gol – itupun satu menerusi tendangan penalti.

Lebih malang, dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, minit permainan terkumpul pemain itu tidak sampai pun 30 minit.

Sebagai rekod, Dickson Nwakaeme diperkenalkan ke Liga Malaysia oleh Kelantan pada 2013 tetapi dia mencipta nama bersama Pahang apabila membantu mereka menjulang Piala FA dan Piala Malaysia pada 2014.

Selepas dua musim bermain dengan tok gajah, dia berpindah ke kelab Perancis dan kembali ke Pahang pada 2019.

Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.