Tidak mungkin Mohamadou Sumareh bertindak begitu nekad untuk menjatuhkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang begitu besar jasa kepadanya, melainkan ada pihak yang menghasut dia berbuat demikian.
Itu pendapat Dickson Nwakaeme, bekas penyerang import Pahang dan rakan sepasukan Mohamadou Sumareh selama dua musim pada 2019 dan 2020.
Pemain naturalisasi Harimau Malaya itu mengambil keputusan untuk mengheret PBNP ke FIFA berhubung isu tunggakan gaji dan pelanggaran kontrak selepas membuat keputusan membatalkan kontrak secara sebelah pihak pada September lalu.
Dan selepas beberapa bulan, kemenangan menjadi milik Sumareh apabila FIFA beberapa hari lalu mengarahkan PBNP untuk membayar RM4.9 juta dalam tempoh 45 hari kepadanya. Baca : Sumareh menang tuntutan, FIFA arah Pahang bayar RM4.9 juta.
Menurut Dickson dalam laporan Stadium Astro, Sumareh bukan pemain jenis ‘kacang lupakan kulit’ justeru tidak menolak dia dipengaruhi orang lain supaya meninggalkan pasukan dan membawa kesnya ke FIFA.
“Agak memalukan isu ini berlaku, tetapi saya berpendapat ada pihak lain yang mendesak untuk dia melakukan perkara ini kerana saya mengenali Sumareh dan dia seorang yang baik hati.
“Saya telah melihat ramai pemain keluar masuk pasukan dan saya boleh membaca perwatakan seseorang. Saya telah bercakap dengannya dan yakin Sumareh masih lagi memiliki hati untuk Pahang dan sayangkan pasukan ini yang mencorakkan perjalanan kariernya,” ujar Dickson yang pernah menjulang Piala FA dan Piala Malaysia bersama Pahang.
PBNP telah membuat keputusan untuk mencabar penghakiman FIFA itu dan dalam masa sama Dickson percaya kedua-dua pihak dapat menangani kemelut itu dengan baik.
Sebagai rekod, Sumareh menyertai Pahang pada 2017 di mana ketika itu dia berstatus pemain import dan setahun kemudian mendapat kerakyatan Malaysia lantas membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi. Dia mula didaftarkan sebagai pemain tempatan pada tahun 2019.
Berdasarkan kontrak dia sepatutnya menerima kenaikan gaji sebanyak US$5,000 (RM20,362) setahun bermula tahun keduanya bersama pasukan itu tetapi dia mendakwa bukan sahaja tiada sebarang kenaikan, malah berlaku tunggakan gaji yang membawa kepada dia membatalkan kontrak dengan mengaktifkan klausa 8.7.
Pemain berusia 26 tahun dari Gambia itu telah diumumkan sebagai pemain baru JDT pada Selasa dan boss barunya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyatakan kesediaan untuk berunding dengannya untuk mengurangkan jumlah bayaran berkenaan.