Dickson Sedih, Tapi Tegaskan Penyokong Silap Jika Fikir Masalahnya Adalah Dollah Salleh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang sensasi Sri Pahang, Dickson Nwakaeme tumpang bersimpati dengan nasib dialami pasukan itu yang mengharungi musim buruk serba tidak menjadi.

Pasukan Sri Pahang bergelut di zon penyingkiran sepanjang musim ini sebelum menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kesepuluh, hanya dua mata mengatasi Perak FC yang tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Dan mereka memulakan kempen Piala Malaysia 2021 dengan tewas dua perlawanan pertama kepada KL City dan Sarawak United, menjadikan pasukan kendalian Dollah Salleh itu ketika ini tidak menang dalam lapan perlawanan terakhir dan tewas tujuh daripadanya.

Rentetan keputusan buruk menyaksikan Dollah Salleh menjadi sasaran kecaman, dengan penyokong-penyokong nampak ketara sudah hilang sabar dan melaungkan supaya dia dipecat.

Begitupun Dickson Nwakaeme yang bermain di bawah kendalian Dollah Salleh pada 2019 dan 2020 memberitahu betapa dia yakin masalah Sri Pahang bukan jurulatih itu seperti difikirkan penyokong.

“Percayalah bahawa Dollah Salleh bukan masalahnya. Ya jurulatih sentiasa menjadi sasaran mudah untuk disalahkan apabila pasukan tidak beraksi baik, itulah kebiasaannya kerana penyokong tak berada di dalam pasukan dan tidak tahu, tidak nampak apa yang berlaku di dalam pasukan pengurusan.

“Saya pernah bermain dengan Sri Pahang dua kali, dan pernah bermain di bawah Dollah Salleh. Bukan mahu pertahankan tapi mahu memberitahu realiti kepada penyokong.

“Sewajarnya Dollah diberi kredit kerana dia tidak pernah bercakap buruk mengenai pengurusan, dia cuba lakukan yang terbaik dengan apa yang pengurusan sediakan kepadanya,” katanya kepada LABOLA MALAYA.

Dickson pernah memenangi Piala Malaysia dan Piala FA bersama Sri Pahang pada 2014.

Sebagai rekod dalam Liga Super musim ini, Sri Pahang hanya melakar empat kemenangan, enam seri dan 12 kali tewas.

Pada awal musim lagi masalah di kem Sri Pahang sudah bermula apabila Thomas Dooley yang dilantik sebagai ketua jurulatih disingkirkan selepas hanya dua perlawanan.

Walaupun ia dikatakan kerana masalah prestasi, Thomas Dooley sendiri kemudiannya mendedahkan dia disingkirkan kerana perbezaan pendapat dengan pengurusan selain kritikannya terhadap fasiliti daif pasukan itu yang seumpama kelab divisyen lapan Jerman.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.