“Diego Maradona pernah buat, tak salah Shukor Adan pun buat”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jaringan ‘tangan tuhan’ Shukor Adan yang membantu Kuala Lumpur City mengikat Uitm FC 1-1 pada masa kecederaan Sabtu lalu, disifatkan sebagai sebahagian daripada permainan bolasepak oleh pemerhati bolasepak tempatan Mohd Sadek Mustaffa.

Justeru, beliau berpendapat pemain veteran itu tidak harus dipersalahkan memandangkan gol itu disahkan pengadil yang tidak nampak bola telah terkena tangan terlebih dahulu, sambil menegaskan skripnya mungkin berbeza jika pengadil melihat insiden berkenaan.

Situasi dimaksudkan Sadek sebenarnya sama seperti gol yang disahkan walaupun telah offsaid, gol yang disahkan walaupun ada berlaku kekasaran manakala dalam situasi lain, mungkin ada pemain terlepas layangan kad – semuanya kerana pengadil tidak melihat insiden berkenaan.

Jadi menurutnya, pengadil perlawanan yang sepatutnya lebih fokus dan peka agar boleh membuat keputusan tepat dan tidak mengundang kontroversi.

“Jika ada video bantuan pengadil (VAR) bolehlah kita rujuk untuk membuktikan jaringan terbabit terkena tangan atau sebaliknya namun sekarang ini tiada sekali gus bergantung sepenuhnya kepada pengadil untuk membuat keputusan.

“Pada saya, Shukor tidak harus dipersalahkan kerana inilah bola sepak di mana sebelum ini legenda Argentina Diego Maradona pun menjaringkan gol menggunakan tangan dan sekarang situasi sama berlaku di liga tempatan.

“Oleh itu, mutu pengadilan seharusnya dipertingkatkan lagi bagi memastikan perkara sama tidak berulang sekali gus boleh memberi imej buruk kepada bola sepak negara,” kata Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam dipetik dari Arena Metro.

Sebagai rekod, gol ‘tangan tuhan’ itu turut memahat nama Shukor Adan ke dalam buku sejarah sebagai penjaring gol tertua Liga Malaysia, mengatasi rekod dipegang Amri Yahyah.

Jurulatih Uitm FC, Frank Bernhardt nyata berang dengan keputusan pengadil mengesahkan gol itu yang menyebabkan pasukannya kerugian dua mata berharga, dan kekal tanpa kemenangan dalam saingan Liga Super 2021.

Keputusan seri itu hanyalah yang kedua buat Uitm FC musim ini menyaksikan mereka kekal di tangga tercorot dengan hanya dua mata, dan dilihat mustahil dapat menyelamatkan diri daripada tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.