Dihentam Mental Lemah, Hendrawan Jelaskan Punca Lee Zii Jia Tarik Diri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia sekali lagi membuat keputusan menarik diri, kali ini di Kejohanan Dunia BWF ketika aksi suku akhir menentang pemain Denmark, Anders Astonsen.

Ini adalah kali ketiga Lee Zii Jia menarik diri selepas berbuat demikian ketika Hylo Germany Open dan Masters Indonesia pada bulan lalu kerana kecederaan belakang.

Kali ini dia terpaksa mengalah di set ketiga ketika ketinggalan jauh 1-11 kepada pemain nombor tiga dunia itu setelah tidak dapat menahan sakit akibat luka (lepuh) di tapak kaki.

“Semalam (Khamis) selepas main dengan Vittinghus (pusingan ketiga) kaki dia mengalami lepuh sampai berdarah. Memang semalam sudah buat rawatan, pagi tadi Zii Jia cakap masih sakit. Selepas itu cuba buat taping dan wrapping supaya boleh kurangkan sakit.

“Masa set pertama dia masih boleh paksa (teruskan permainan), set kedua sudah tak boleh, selepas selesai set kedua nampak keluar darah lagi maka minta doktor tambah taping lagi, tetapi still sakit. Kita sudah cuba semaksimum yang boleh,” ujar jurulatih pemain itu, Hendrawan kepada pemberita di Malaysia.

Kecenderungan pemain dari Kedah ini untuk menarik diri atas alasan kecederaan, selain tidak menyerlah sepertimana diharapkan serta seringkali melakukan unforced-error menyebabkan juara All England ini menjadi sasaran kritikan, dilabel sebagai mental lemah.

Malah di Kejohanan Dunia ini sendiri, dia bergelut untuk sampai ke peringkat suku akhir meskipun berdepan lawan mudah Jason Anthony Ho-Sheu (pusingan pertama); Ygor Coelho (pusingan kedua) dan Hans Kristian Vittinghus (pusingan ketiga).

Namun penjelasan daripada Hendrawan ini diharap dapat menangkis tanggapan dia sengaja memberi alasan kecederaan apabila membuat keputusan menarik diri, terutama bila ketinggalan jauh kepada lawannya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.