Dion Cools berterima kasih kepada TMJ kerana jadikan impiannya kenyataan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools menzahirkan penghargaan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas hasratnya untuk bermain dengan Harimau Malaya menjadi kenyataan.

“Bersyukur untuk detik ini. Terima kasih banyak kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menjadikan perkara ini satu kenyataan. Terima kasih,” ujar pemain itu di instagram.

Ucapan Dion Cools itu turut dibalas Tunku Ismail yang meninggalkan komen dengan menulis ‘sama-sama Dion. Saya doakan yang terbaik buat kamu.’

Selasa lalu, Dion Cools yang bermain dengan kelab Denmark FC Midtjylland diumumkan sebagai rekrut terbaru skuad Harimau Malaya untuk mengharungi baki tiga aksi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan memberitahu Tunku Ismail memainkan watak penting untuk memujuk dan meyakinkan Dion Cools untuk menyarung jersi Malaysia di peringkat senior, sekaligus melepaskan peluang untuk bermain dengan pasukan Belgium.

Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe mendedahkan pemain berusia 25 tahun itu cepat selesa dalam skuad kebangsaan meskipun baru sahaja menyertai kem latihan pusat di Dubai.

“Dia nampak gembira bersama pasukan dan pemain lain pun boleh menerimanya sebagai satu pasukan. Dalam sesi latihan pun, kita nampak tanda positif daripada Cools.

“Kita lihat dia ada personaliti dan karakter di atas padang. Walaupun baru menyertai pasukan tetapi dia boleh bergaul dengan baik bersama pemain yang lain.

“Sudah tentu dia perlukan masa untuk mengenal nama-nama pemain tetapi kami yakin dia boleh menyesuaikan diri dengan situasi itu,” katanya.

Sebagai rekod, Dion Cools boleh bermain di posisi pertahanan kanan, kiri dan tengah, serta tengah kanan.

Dia ketika ini merupakan pemain paling mahal di dalam skuad dan pengalamannya bermain di pentas Liga Juara Eropah bersama Club Brugge dan Midtjylland diyakini akan memberi nilai tambah untuk memperkasa benteng pertahanan skuad negara yang sedikit goyah ekoran ketiadaan Shahrul Saad yang mengalami kecederaan.

Dion Cools juga merupakan seorang daripada enam pemain berdarah kacukan di dalam skuad selain Brendan Gan, Junior Eldstal, Samuel Somerville, Matthew Davies dan La’vere Corbin Ong.

Foto : MFL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.