Dion Cools lapor diri, namun pengumuman sedikit kurang unsur kejutan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Johan Cools melapor diri di kem Harimau Malaya pada Selasa, sekaligus melengkapkan senarai 26 pemain yang akan membawa cabaran di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Begitupun, pengumuman dibuat FAM kurang sedikit unsur kejutan kerana berita mengenai Dion Cools akan menyertai kem Harimau Malaya telah tersebar sejak minggu lalu gara-gara kesilapan kelab pemain itu FC Midtjylland ‘membocorkan’ info tersebut.

Kelab itu dalam satu kenyataan mengumumkan Dion Cools telah bersetuju menerima panggilan Harimau Malaya untuk memperkuatkan cabaran di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan akan menyertai pasukan di Dubai pada 31 Mei.

Walaupun Midjtylland kemudiannya telah memadam info tersebut, ia telahpun tersebar meluas di media sosial dan meskipun FAM cuba untuk berahsia mengenai siapakah pemain ke-26, rata-rata penyokong sudah boleh meneka Dion Cools adalah orangnya.

Ini  merupakan kali pertama Dion Cools dipanggil Tan Cheng Hoe dan dia mempunyai reputasi sebagai satu-satunya pemain yang berpengalaman bermain di pentas tertinggi Eropah (Liga Juara-Juara).

Memang tidak ada sebarang tanda-tanda dia akan memilih untuk menyahut panggilan Harimau Malaya sebelum ini, malah dia pernah menolak peluang tersebut bagi mengintai tempat di dalam skuad Belgium.

“Segala proses dokumentasi di peringkat FIFA dan AFC, terutamanya berhubung status kelayakannya, pendaftaran dan lain-lain telah selesai.

“Dengan kehadiran beliau, ia akan dapat memberi nilai tambah serta memperkasakan lagi pasukan Harimau Malaya.

Harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong setia Harimau Malaya, doakan pasukan kita ini untuk beroleh kejayaan,” ujar Datuk Hamidin.

Sebagai rekod, Dion Cools yang berusia 24 tahun pernah beraksi sebanyak 28 kali untuk skuad belia Belgium.

Dia yang merupakan pemain posisi bek kanan pernah beraksi bersama dua kelab di Liga Jupiler PRO iaitu OH Leuven dan Club Brugge selama lima setengah musim sebelum berhijrah ke FC Midjtylland.

Dia juga boleh bermain di posisi bek kiri namun kurang diketahui mengenai keupayaannya bermain di posisi lain.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.