“Dion Cools Sendiri Mungkin Keliru Dan Tidak Tahu Peranan Sebenarnya”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mempunyai paling kurang tujuh pemain ofensif, tetapi menolak Dion Cools bermain di atas mungkin perkara paling gila dilakukan oleh seorang jurulatih, dan ia dilakukan oleh Tan Cheng Hoe.

Ketika permulaan separuh masa kedua, Cheng Hoe mengeluarkan Safawi Rasid yang cedera dan menggantikannya dengan Dominic Tan.

Pada mulanya penyokong menyangka ada perubahan formasi di mana Malaysia mungkin bermain dengan tiga pemain bek tengah bagi menangani kerakusan jentera serangan Indonesia.

Tetapi sebaliknya Dominic Tan mengambil alih posisi Dion Cools di bawah manakala pemain FC Midtjylland itu pula bergerak di segenap penjuru padang kawasan Indonesia.

Ada ketika dia seperti bermain di sayap kiri dan kanan, ada ketika seperti attacking midfielder malah ada ketika seperti penyerang sehinggakan pengulas Astro Arena memberitahu “Dion Cools sendiri mungkin keliru dan tidak tahu apa peranannya dalam perlawanan ini”.

Penyokong sendiri pun pelik, kenapa perlu Cheng Hoe memasukkan Dominic Tan dan menolak Dion Cools ke atas, sedangkan ada direct replacement untuk Safawi Rasid, dalam kelibat Luqman Hakim, Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri di bangku simpanan.

Cheng Hoe cuba bereksperimen pada ketika yang salah, itu mungkin rumusan paling tepat – Dion Cools memang kita ketahui pemain versatile serba boleh, tetapi jika dia kekal di bawah dan Akhyar Rashid atau Luqman Hakim dimasukkan sebagai pengganti Safawi, ia mungkin menjadikan kedua-dua bahagian pertahanan dan serangan lebih seimbang.

Tiada keperluan sebenarnya untuk melakukan eksperimen pada ketika skuad negara sedang ketinggalan dan wajib menang untuk memburu tiket ke separuh akhir.

Kemudian apabila bolos lagi dua gol di separuh masa kedua, Cheng Hoe mengatakan ia berpunca daripada ketiadaan Aidil Zafuan dan Shahrul Saad yang sekaligus menjejaskan kestabilan di benteng pertahanan – kelakar apakah ini?

Adakah Cheng Hoe tidak mempercayai pemain yang dibawanya sehingga sanggup membuat percaturan yang makan diri atau dia memikirkan Dion Cools seorang superman kerana bermain di Eropah?

Pada akhirnya, percaturan yang sedikit salah menyaksikan Malaysia diaibkan Indonesia, sekaligus meragut tiket beraksi di separuh akhir.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.