Dirga Surdi sangka panggilan bermain di Liga Super sekadar satu ‘prank’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua musim yang lalu, Dirga Surdi sekadar bermain di liga sosial bersama pasukan Teleflow, namun bak kata pepatah ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, musim ini dia menjadi salah seorang pemain utama skuad Liga Super PDRM FA.

Bagaimana dia melakukannya sedangkan dia tiada latar belakang bolasepak – dia tidak pernah bermain dengan mana-mana pasukan Piala Presiden, Piala Belia mahupun Sekolah Sukan.

Kita ikuti kisah perjalanan karier pemain sayap berusia 21 tahun itu yang membuktikan jika tiada sikap putus asa dalam hidup, tiada apa yang mustahil dalam mengejar cita-cita.

“Tahap tertinggi saya dulu semasa bersekolah menengah hanya pernah sampai wakil peringkat daerah sahaja dan tidak pernah ada peluang bermain di peringkat lebih tinggi.

“Cuma sejak dari Tingkatan 3, saya telah bermain di liga sosial dengan jurulatih, Zainul Mashi orang bertanggungjawab membawa saya bermain di situ.

“Habis sahaja sekolah, saya masih ingat lagi kata-kata salah seorang jurulatih Teleflow, Badrul Hisyam iaitu ayah kepada Azrif Nasrulhaq yang penuh inspirasi.

“Dia pernah kata kepada saya, jangan sesekali berasa putus asa dan tidak semestinya kena bersekolah sukan atau bermain di peringkat belia atau presiden jika mahu bermain di peringkat tertinggi pada satu hari nanti.

“Dari situ, saya terus berusaha walaupun hanya berbekalkan RM800 sahaja sebulan elaun secara purata sebelum mendapat peluang bermain di Puchong Fuerza musim lalu di bawah Nazrulerwan Makmor setelah  dia melihat aksi saya ketika mewakili kelab NPEG Damansara Damai di Selangor Champions League.

“Ia menjadi permulaan untuk saya kembangkan karier dan akhirnya, awal musim ini, penolong jurulatih PDRM, Eddy Gapil menjadi orang bertanggungjawab memanggil saya hadiri pemilihan selepas pernah melihat saya bermain dalam salah satu perlawanan persahabatan dengan mereka pada musim lalu.

“Panggilan daripadanya (Eddy) sampai sekarang saya tidak boleh lupa kerana pada mulanya, saya ingatkan ada kawan-kawan mahu kenakan saya dengan membuat panggilan palsu tetapi rupa-rupanya tawaran bermain Liga Super dan memang saya tidak berfikir banyak kali untuk terima tawaran tersebut,” katanya.

Pemain berasal dari Kota Kinabalu ini kini meletakkan cita-cita lebih tinggi mahu mewakili negara dalam skuad B-23 jika mendapat panggilan.

Sebagai rekod, dalam 11 perlawanan yang telah diharungi PDRM FA di CIMB Liga Super, Dirga telah bermula empat kali dalam kesebelasan utama ketika berdepan Sabah, Melaka, UiTM FC dan Terengganu manakala dalam lima perlawanan (JDT, Felda United, Perak, Kedah, PJ City) dimasukkan selaku pemain gantian.

“Tahun pertama suasananya memang lain, saya tidak sangka tersenarai dalam skuad 18 pemain ketika melawan Sabah iaitu negeri kelahiran sendiri. Lebih mengejutkan saya dalam kesebelasan utama.

“Walaupun ada yang sinis apakah saya mampu hidup dalam Liga Super. saya cuma ikutkan naluri,” ujarnya.

Dirga berharap kisahnya mampu menjadi inspirasi kepada mereka yang gagal mendapat tempat bermain di peringkat Piala Presiden, Belia atau sebagainya dan menasihatkan mereka supaya tidak mengalah.

“Jika kita memang berbakat, insyaAllah rezeki tidak akan ke mana untuk kita bermain di Liga Super atau Liga Premier pada satu hari nanti dan yang paling penting, jangan berhenti bermain bola sepak,” katanya.

Update terbaru: Jodoh Dirga Surdi dalam Liga Super masih panjang apabila dia mengesahkan akan menyarung jersi pasukan Uitm FC kendalian Frank Bernhardt dalam Liga Malaysia 2021.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.