Ditolak Sabah, Rozaimi disambar pasukan Liga Super lain!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang Johor Darul Takzim II Rozaimi Abdul Rahman mengesahkan sudah menerima tawaran daripada pasukan Liga Super lain, selepas hajatnya untuk menabur bakti bersama negeri kelahirannya Sabah tidak kesampaian.

“Saya harap akan dapat memberikan aksi terbaik buat pasukan baru itu nanti kerana saya mensasarkan untuk membuat penampilan semula dalam skuad kebangsaan,” kata pemain berusia 28 tahun itu yang belum mahu mendedahkan pasukan mana yang berjaya menyambar khidmatnya.

Rozaimi membuat keputusan meninggalkan JDT II selepas lima musim bersama pasukan itu sejak 2016, dan dijangka menyertai pasukan berwajah baru Sabah FC bagi saingan Liga Malaysia 2021.

Namun begitu, timbul perselisihan faham antara bekas pemain skuad B-22 kebangsaan itu dengan pengurusan Sabah FC gara-gara kenyataan di media sosial, sehinggakan dia dilabel tidak professional dan tidak sesuai menyarung jersi pasukan itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Verdon Bahanda.

Isu timbul selepas Rozaimi menyatakan rasa bimbang dengan masa depannya kerana masih belum ditawarkan kontrak oleh Sabah FC setelah berhabis kira-kira RM14,000 untuk membawa semua barang-barangnya dari Semenanjung ke Sabah, dan mendakwa telah ditipu.

Rata-rata penyokong berpendapat Rozaimi tidak bersalah dalam hal ini sebaliknya telah berlaku salah faham, dan berharap kedua-dua pihak akan berdamai demi kemajuan bolasepak Sabah. Mereka sebolehnya tidak mahu Sabah kehilangan seorang pemain bintang dengan kaliber Rozaimi.

Bagaimanapun bagi Rozaimi, dia akur belum rezekinya untuk kembali berbakti kepada Sabah, pasukan yang pernah diwakilinya sebelum ini pada tahun 2011, 2012, 2014 dan 2015.

Sebagai rekod, pemain kelahiran Bongawan ini merupakan produk Piala Presiden Sabah dan mencipta nama ketika SUKMA 2012 di Pahang apabila membantu Sabah memenangi pingat emas dengan menewaskan Perak dalam aksi final.

Dia dinobatkan sebagai Pemain Harapan Terbaik Liga Malaysia 2012 dan terus mengembangkan kariernya apabila dipinjamkan ke skuad B-22 negara kendalian Ong Kim Swee pada 2013 seterusnya muncul penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC B-22 2013, malah pernah dilabel sebagai 10 pemain terbaik Asia oleh ESPN FC.

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.