Ratu badminton negara, Goh Liu Ying nampaknya sudah hilang sabar dengan dakwaan kononnya dia mempunyai hubungan dengan suami orang.
Menganggap cerita yang tersebar sejak beberapa hari lalu itu sebagai fitnah dan tidak berasas, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016 itu memberi amaran tidak akan berdiam diri dan bersedia mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang berterusan cuba menjatuhkan reputasinya.
“Saya mengambil maklum tentang khabar angin yang tersebar di internet, ianya tidak benar dan langsung tidak berasas. Saya tidak bersalah dan cerita palsu ini memberi impak besar kepada saya serta keluarga, membuatkan kami tidak dapat tidur lena.
“Saya boleh katakan tanpa ragu saya tidak tidak mempunyai hubungan atau menjadi orang ketiga dalam rumahtangga sesiapa. Saya sedang mendapatkan nasihat guaman dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang berterusan menyerang saya dan menyebarkan fitnah dan cerita palsu di internet.
“Saya mahu menegaskan bahawa saya komited sepenuhnya kepada karier badminton saya dan ini tidak akan sama sekali menjejaskan persiapan untuk Sukan Olimpik (2021).
“Latihan badminton saya berjalan dengan lancar dan saya tidak akan biarkan apa-apa menjadi penghalang di dalam merealisasikan impian saya dan juga negara tercinta, Malaysia.
“Saya berharap semua spekulasi dan fitnah dihentikan, dan percaya semua peminat saya akan terus memberikan sokongan kepada saya untuk mencapai impian kita bersama. Terima kasih kepada keluarga, kawan-kawan, peminat dan penaja yang memahami dan berdiri bersama saya pada saat getir ini,” ujar Goh Liu Ying.
Baca : Kenali 10 si cantik arena sukan Malaysia
Goh Liu Ying bersama pasangan beregu campurannya Chan Peng Soon yang merupakan gandingan professional (bukan lagi bernaung bawah Persatuan Badminton Malaysia) telah melapor diri di Akademi Badminton Negara pada Selasa bagi menjalani ujian swab.
Mereka diberi kebenaran berlatih bersama pasukan kebangsaan di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan Chew Choon Eng sebagai persiapan untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung 2021.
Pasangan itu hampir melakar kejutan menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam sejarah penyertaan di Sukan Olimpik empat tahun lalu di Rio De Janeiro namun berpuas hati dengan perak setelah tewas straight set kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.
Foto : Instagram Goh Liu Ying