Dollah bakal bentuk gandingan dinamik dengan Dooley di Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dollah Salleh akan kekal bersama pasukan Sri Pahang FC bagi musim 2021, bertindak sebagai pengurus pasukan menggantikan Datuk Suffian Awang yang kini telah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pengendali berpengalaman luas itu kepada Labola Malaya.

Sri Pahang FC sebelum ini telah membuat keputusan untuk melantik bekas kapten Amerika Syarikat dan ketua jurulatih skuad kebangsaan Filipina, Thomas Dooley sebagai jurulatih baru membuatkan timbul tanda tanya mengenai kedudukan Dollah Salleh, sama ada kekal atau dipecat.

Baca : Tugas berat Dolley pulihkan reputasi Sri Pahang sebagai pencabar utama Liga Super

Perkembangan terbaru ini bakal menyaksikan Sri Pahang mendapat sentuhan tepi padang daripada dua individu yang cukup dikagumi kredibiliti mereka, lantas diharap dapat mencipta gandingan ‘dynamic-duo’ Dollah-Dooley seterusnya mengembalikan gemilang bolasepak Pahang.

“Satu penghargaan buat saya untuk terus diberi kepercayaan, ia satu tanggungjawab besar dan sudah tentu kami perlu duduk bersama dan buat banyak ‘homework’ dalam tempoh masa kurang dua bulan yang berbaki (sebelum Liga Malaysia bermula) untuk membentuk satu pasukan yang boleh mencabar secara serius dalam semua pertandingan musim ini,” kata Dollah Salleh.

Pahang mengharungi musim 2020 yang cukup suram apabila sekadar menamatkan saingan Liga Super yang berlangsung separuh pertandingan di kedudukan kelapan, manakala tersingkir di peringkat suku akhir Piala Malaysia yang kemudiannya dibatalkan.

Pasukan itu bagaimanapun dijangka tampil lebih mantap pada 2021 berikutan telah merekrut beberapa pemain dengan kredibiliti tinggi untuk memperkuatkan pasukan termasuklah Lee Tuck, Sergio Aguero, Shahrul Aizad Zulkifli, Malik Mat Ariff, Hafiz Ramdan dan Zharif Irfan Hashimuddin selain mengekalkan beberapa pemain tonggak seperti Herold Goulon, Muslim Ahmad dan Nor Azam Azih.

Sebagai rekod, Dollah Salleh pernah menyarung jersi tok gajah sebagai pemain dari tahun 1991 – 1996 dan mencipta nama sebagai salah seorang pemain paling berjaya dalam Liga Malaysia sebelum kembali semula ke Pahang pada 2009 sebagai ketua jurulatih.

Dia meninggalkan Pahang untuk menyertai PDRM setelah membantu mereka menjulang Piala Malaysia pertama dalam tempoh 21 tahun pada 2013, namun kembali semula ke bumi Kuantan pada 2017 dan membawa pasukan itu menjulang Piala FA pada 2018.

Pada 2019, Dollah memacu Pahang muncul naib juara Liga Super dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia serta Piala FA, menyaksikannya dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019.

Foto ehsan : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.