Dollah : Banyak sangat masalah, baru sekarang ceria sikit bilik persalinan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pahang bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas PDRM FA pada Sabtu.

Ia kemenangan ketiga skuad tok gajah musim ini, yang pertama sejak Liga Super kembali bersambung selepas lebih lima bulan ditangguhkan dan ternyata melegakan pengendali Dollah Salleh.

“Saya perlu akui ia kemenangan penting untuk melonjakkan moral pasukan. Kita dihimpit banyak masalah dan cerita tidak sedap kebelakangan ini.

“Dalam bilik persalinan pun pemain nampak lebih ceria tak seperti selalu, suram. Walaupun kita bergelut untuk mencatat kemenangan tapi ia satu suntikan semangat, saya percaya kita boleh bangkit lebih kuat selepas ini,” kata Dollah Salleh.

Gol pertama Pahang dalam aksi di Stadium Darulmakmur itu dijaringkan pada minit ke-36 oleh Ivan Carlos menerusi sepakan percuma dan Faisal Halim meledak gol kedua pada minit ke-74.

Tuan rumah turun tanpa kelibat penyerang import Dickson Nwakaeme yang cedera serta merehatkan penjaga gol Sharbinee Allawee Ramli yang melakukan kesilapan dalam dua perlawanan terdahulu, dengan tempatnya diisi penjaga gol veteran Helmi Eliza Elias.

“Separuh masa kedua kita banyak mencipta peluang tapi tak manfaatkan, walaupun selepas mendahului 2-0 kita masih cuba untuk menambah jaringan tapi tak berjaya. Kemudian kita buat kesilapan kecil sehingga terhasil gol sendiri oleh Adam Reed.

“Apa sekalipun saya berpuas hati, kerana kalau ikut pengalaman rata-rata yang main pemain muda selepas saya keluarkan Carlos, (Mark) Goulon.

“Yang penting kita dapat tiga mata berharga dan perlu berhati-hati untuk perlawanan seterusnya kerana mungkin tiga tonggak import tak dapat main kerana kecederaan,” tambah Dollah Salleh lagi.

Pahang kekal di tangga kelapan dengan 9 mata dan aksi seterusnya mereka akan menentang Felda United pada 20 September disusuli Kedah (26 September); Perak (3 Oktober) dan Terengganu FC (10 Oktober).

Liga Super ketika ini diterajui Johor Darul Takzim (19 mata) yang semakin menghampiri gelaran ketujuh berturut-turut manakala Kedah melonjak ke tangga kedua setelah melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Felda United.

Foto : MFL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.