Dollah Salleh akui kecewa, dah jangka dari awal Pahang jadi begini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Pahang, Dollah Salleh jelas sama sekali tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan kekalahan 0-1 pasukannya di tangan Uitm FC, pada Sabtu.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Pahang selepas Liga Malaysia bersambung dan yang keempat musim ini, sekaligus menyaksikan mereka tergelincir ke tangga kelapan.

Menurut Dollah Salleh, Pahang tidak berada pada tahap sepatutnya dan mengakui sudah menjangkakan mereka sukar untuk memberi tentangan.

Gol tunggal perlawanan berpunca daripada kesilapan yang tidak sepatutnya oleh penjaga gol berpengalaman, Sharbinee Allawee Ramli yang membolehkan Rafie Mat Yaakob meledak untuk kemenangan ketiga Uitm FC musim ini.

“Gol yang kita lepaskan lebih kurang sama seperti ketika lawan JDT, memang saya betul-betul kecewa.

“Tetapi sebelum perlawanan memang saya sudah jangka, saya khuatir dengan Pahang kerana ramai pemain cedera, saya gamble juga turunkan Dickson (Nwakaeme) yang belum fit.

“Nampaknya Dickson memang tak boleh tunjukkan prestasi yang baik, dia bermain dalam kesakitan jadi saya keluarkan dia masukkan pemain muda tetapi dalam keadaan tertekan masing-masing tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan baik dan gagal bermain sebagai satu pasukan.

“Kita sebenarnya tiada masalah di pertahanan, cuma midfield dan serangan serba tak menjadi. Biasanya 15 minit pertama kita agak slow, tapi dalam perlawanan ini 15 minit pertama kita nampak mengancam dan hampir jaringkan gol cuma selepas itu kita hilang punca, passing pun tak menjadi. Kat situ segalanya berubah,” ujar Dollah.

Dengan hanya enam mata dari enam perlawanan dan hanya berbaki lima perlawanan untuk diharungi, fokus utama Dollah Salleh kini sudah tentunya memastikan tok gajah tidak tergelincir ke zon penyingkiran.

Mereka mengatasi Felda United yang menduduki tangga kesembilan dengan beza jaringan dan hanya satu mata mengatasi PJ City FC (no.10) dan Sabah (no.11).

Manakala PDRM FA yang akan menjadi lawan Pahang selepas ini pula kekal menghuni tangga tercorot dengan -1 mata.

“Saya akan membuat sedikit rombakan menentang PDRM berdasarkan keadaan sekarang, Dickson dan Ivan Carlos cedera, tanpa Mohamadou Sumareh lagi, jadi saya kena buat sesuatu di tengah dan serangan,” tambah Dollah Salleh.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.