Dollah Salleh akui Kenny Athiu nampak semakin berbahaya

Dollah Salleh gembira dengan Kenny Athiu
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Walaupun tidak menjaringkan gol dalam dua perlawanan yang telah diharungi selepas Liga Super kembali bersambung, Dollah Salleh berpendapat penyerangnya Kenjok Athiu (Kenny) kelihatan semakin berbahaya.

Kenny Athiu dibawa masuk Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua Liga Super dan menjaringkan dua gol ketika menewaskan Perak FC 3-2 dalam aksi terakhir sebelum saingan berhenti rehat lebih dua bulan.

Dia bagaimanapun gagal menambah jaringan peribadinya ketika menentang Melaka United dan Sabah FC, di mana Sri Pahang seri kedua-dua perlawanan tersebut dan tergelincir ke tangga kesepuluh.

“Dia cemerlang memporak-perandakan pertahanan lawan, pandai mengelirukan pertahanan lawan, membantu mencipta peluang, macam ketika lawan Sabah tempoh hari, saya rasa itu adalah perlawanan terbaik dia dan baru nampak dia pemain yang berbahaya walaupun tidak menyumbang jaringan.

“Saya berharap dia, bersama-sama gandingan Manuel Hidalgo dan Malik Mat Arif akan dapat melakukan sesuatu yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya supaya kita boleh memperbaiki kedudukan.

“Kita tidak boleh lagi keciciran mata, saya gembira pemain-pemain semakin menunjukkan peningkatan, tinggal kita nak menang jer dan mintak tolong pemain-pemain tidak lagi cuai ketika minit akhir,” ujar Dollah Salleh ketika dihubungi Labola Malaya.

Baca juga : Dollah Salleh bingung tinggal satu saat pun boleh seri

Sri Pahang pada musim 2021 mengharungi permulaan terburuk dalam sejarah penyertaan di Liga Super apabila tewas tujuh kali dalam 10 perlawanan pertama, namun mereka menunjukkan peningkatan tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir.

Skuad tok gajah yang mengumpul 14 mata kini bersaing hebat dengan pasukan tangga kesebelas Perak FC (13 mata) dan tiga pasukan di atas mereka iaitu Melaka United (15 mata), Sabah FC (17 mata) dan PJ City (18 mata) untuk mengelak tersingkir ke Liga Premier 2022.

Kali terakhir Sri Pahang bermain di Liga Premier adalah pada tahun 2012 selepas menamatkan Liga Super musim sebelumnya di kedudukan dua tercorot.

Foto ehsan : Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.