Dollah Salleh Akur Jika Terpaksa Benarkan JDT Berpesta Jumaat Ini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim akan muncul juara Liga Super 2021 jika melakar kemenangan ke atas Sri Pahang FC pada Jumaat ini di laman sendiri Stadium Sultan Ibrahim.

Pasukan kendalian Benjamin Mora mengumpul 48 mata, dan hanya Kedah Darul Aman (KDAFC) sahaja masih boleh mengejar mereka dengan syarat JDT tewas semua perlawanan manakala KDAFC pula menang semua perlawanan.

Begitupun, JDT hanya memerlukan tiga mata sahaja lagi dari baki tiga perlawanan untuk memastikan kejuaraan kekal di tangan mereka sekali lagi.

Meskipun Sri Pahang boleh melengahkan pesta JDT jika berjaya untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dari perlawanan tersebut, Dollah Salleh mengakui ia sukar untuk dilakukan.

Bukan sahaja kerana masalah prestasi yang tidak menyebelahi, tetapi mereka juga akan turun serba tempang tanpa beberapa pemain utama termasuk pemain pertahanan import, Herold Goulon.

Justeru beliau akur jika Sri Pahang terpaksa membenarkan JDT berpesta meraikan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

“Kita hilang enam pemain utama, Goulon digantung kerana tiga kad kuning, manakala Helmi Eliza, Muslim Ahmad, Azam Azih, Zuhair Aizat dan Zarif Irfan mengalami kecederaan. Saya jangka mereka tidak sempat pulih untuk aksi JDT.

“Kemudian kita juga sedang memantau kecederaan Abdul Malik (Mat Arif) dan Yakubu (Abu Bakar). Kedua-duanya alami kecederaan ringan dan saya harap mereka sempat pulih.

“Saya bukan memberi alasan tetapi inilah situasi kita, persiapan kita tidak berapa bagus ketika ini dan saya perlu membuat rombakan besar. Ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat sukar, saya cuma mengharapkan siapa sahaja yang diturunkan akan memberi komitmen penuh dan tidak melakukan kesilapan mudah,” kata Dollah Salleh kepada Labola Malaya.

Tatkala JDT akan bergelar juara jika meraih tiga mata, kekalahan pula akan mengakibatkan Sri Pahang yang menduduki tangga kesepuluh Liga Super ketika ini terus tersepit di zon penyingkiran.

Satu-satunya berita baik untuk Sri Pahang adalah pasukan di bawah mereka iaitu Perak FC bermain lebih buruk dan tidak langsung menunjukkan peningkatan.

Jadi jika Sri Pahang tidak boleh berusaha sendiri untuk menyelamatkan diri dari tersingkir ke Liga Premier, mereka perlu mengharapkan Perak akan kekal dengan prestasi buruk itu sampai habis musim.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.