‘Ada yang cakap saya ada sentuhan magis, bagi saya itu adalah rezeki Tuhan bagi’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tidak semua pemain yang hebat akan berjaya sebagai jurulatih, tetapi dalam hal Dollah Salleh, dia bukan sahaja pemain yang hebat pada zamannya, tetapi berjaya menempa nama sebagai jurulatih yang berjaya dan tanpa ragu merupakan salah seorang jurulatih berprofil tinggi Liga Malaysia.

Beliau sememangnya diketahui sebagai salah seorang pemain kebangsaan berprofil tinggi pada zamannya di mana gandingannya bersama Zainal Abidin Hassan di barisan depan dianggap sebagai gandingan ‘penyerang kembar’ terbaik pernah disaksikan selepas era James Wong dan Hassan Sani.

Antara pencapaian Dollah Salleh sebagai pemain adalah memenangi gelaran Liga Perdana dan Piala Malaysia pada 1992 bersama Pahang selain turut pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Beliau juga membantu pasukan negara muncul juara Pestabola Merdeka 1993 dan naib juara edisi sulung Piala Tiger pada 1996.

Dollah Salleh bersara sebagai pemain pada penghujung 1998 dengan Negeri Sembilan menjadi pasukan terakhir diwakilinya.

Kecemerlangan ditunjukkan sebagai pemain, diteruskan apabila dia kemudiannya bergelar jurulatih.

Setelah terjun ke bidang kejurulatihan pada 2005, beliau pantas mencipta nama apabila membawa MPPJ Selangor muncul kelab pertama menjulang Piala Malaysia dan setahun kemudian menjuarai pula Piala Sumbangsih serta Liga Perdana 2004.

Itulah permulaan dia mendapat gelaran jurulatih dengan sentuhan magis dan meneruskan sentuhan itu pada 2005 dengan membantu Red Giants mencipta sejarah menjulang tiga gelaran Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA.

Pada musim terakhirnya bersama pasukan itu pada 2008, beliau menambah lagi koleksi trofi apabila berjaya muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia.

Apakah resipi yang membuatkan sentuhannya menjadi, ini perkongsian daripada Dollah Salleh sendiri.

“Ketika bergelar pemain, saya menerima tunjuk ajar daripada ramai jurulatih-jurulatih berpengalaman, antara jurulatih yang banyak mempengaruhi gaya kejurulatihan saya adalah jurulatih Sukan SEA 1989, Trevor Hartley.

“Beliau seorang yang kelakar dan mudah mesra, menyebabkan kami mengelarnya Benny Hill. Semasa di bawah kendalian Hartley, saya tidak pernah berasa bosan untuk berlatih, sentiasa enjoy dan bergaduh sesama sendiri di atas padang.

“Kemudian cara inilah yang saya bawa di dalam pasukan kendalian saya, saya terapkan suasana kekeluargaan dalam latihan, pemain saya anggap sebagai kawan atau anak.  Apabila saya bina pasukan, saya perlukan pemain yang bermain untuk jurulatihnya, dalam hal saya, pemain yang bermain untuk Coach Dollah.

“Jadi bila sampai ke tahap mereka bermain untuk Coach Dollah, saya jadi lebih yakin dan bersemangat serta menghargai sumbangan mereka. Ini adalah kunci kepada kejayaan saya, dari mula saya membimbing MPPJ hingga ke pasukan kebangsaan dan kini di Pahang. Ada yang cakap saya mempunyai magis, bagi saya itu rezeki dan kelebihan yang Tuhan bagi,” ujar Dollah Salleh.

Selepas meninggalkan Selangor, Dollah Salleh membimbing Shahzan Muda untuk seketika dan dilamar Pahang pada 2009.

Ketika itu juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cuba untuk memancing khidmatnya untuk mengemudi skuad kebangsaan tapi sayang tidak dilepaskan Pahang.

Selepas membantu skuad tok gajah menoktahkan kemarau 21 tahun untuk menjulang Piala Malaysia pada 2013 dengan menewaskan Kelantan, beliau dipancing oleh pasukan PDRM FA.

Pada 2014, Dollah Salleh membawa PDRM FA menjuarai Liga Perdana seterusnya dilamar sekali lagi untuk mengalas tanggungjawab selaku jurulatih kebangsaan, kali ini mendapat lampu hijau majikannya.

Beliau membimbing Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2014 namun reputasi gah sebagai jurulatih yang hebat sedikit tercalar dek kerana kekalahan 10-0 ke pada Emiriah Arab Bersatu menyaksikannya meletak jawatan.

Dollah Salleh kembali membimbing Pahang pada 2017, membawa mereka muncul naib juara Piala FA dan seterusnya bergelar juara pada tahun 2018 dengan menewaskan Selangor.

Pada 2019, beliau dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Kebangsaan di Anugerah Bolasepak Kebangsaan walaupun tiada trofi dimenangi.

Foto ehsan : NSTP, Retro Bolasepak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.