Dollah Salleh : “Bila main sebelah kiri, Safawi dan Sumareh hilang”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tan Cheng Hoe perlu memilih salah seorang daripada Safawi Rasid atau Mohamadou, untuk bermain di dalam kesebelasan utama Harimau Malaya dan bukan menyenaraikan kedua-dua pemain itu.

Ini kerana kedua-dua pemain itu diketahui cukup dominan di posisi sayap kanan.

Demikian pendapat bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh tatkala skuad Harimau Malaya sedang membuat persiapan untuk aksi getir kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam pada 11 Jun, disusuli Thailand pada 15 Jun.

“Kita tahu corak permainan Safawi. Apabila bergerak dari sebelah kanan, dia menggelecek atau melakukan percubaan tapi di sebelah kiri dia tidak dapat buat apa yang dibuatnya selama ini.

“Begitu juga dengan Sumareh, dia mampu beraksi cemerlang di sebelah kanan tapi jika diletakkan ke sebelah kiri, dia hilang, saya sudah tidak nampak dia lagi,” kata Dollah Salleh yang membimbing skuad kebangsaan dari 2014 hingga 2015.

Safawi Rasid mahupun Mohamadou Sumareh dilihat tenggelam sejak ketika bertemu Bahrain lagi, sukar menterjemahkan potensi terbaik mereka apabila beraksi di sebelah kiri malah penampilan mereka juga dianggap tidak menepati ekspetasi.

Namun dalam kedua-dua perlawanan menentang Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu, Tan Cheng Hoe dilihat menukar posisi dua pemain itu dari kiri ke kanan/kanan ke kiri selepas satu tempoh masa dan hasilnya tetap mengecewakan.

Ini menyebabkan ramai yang berpandangan Tan Cheng Hoe perlu berani memberi peluang kepada Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid untuk membuktikan sesuatu.

Begitupun faktor posisi semata-mata tidak boleh dikatakan sebagai penyumbang kepada kejatuhan prestasi dua pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu.

Ini kerana, Safawi Rasid mengalami kecederaan lutut pada bulan Mac lalu yang menyaksikannya tersisih beberapa minggu, dan ketika dipanggil ke kem kebangsaan dia belum kembali kepada tahap prestasi terbaiknya.

Manakala Mohamadou Sumareh pula, tidak banyak beraksi sejak meninggalkan Sri Pahang pada Ogos tahun lalu. Dia menyertai pasukan Bangkok Glass kemudiannya JDT tetapi secara keseluruhannya tidak mempunyai minit permainan yang cukup apabila lebih banyak diturunkan sebagai pemain gantian oleh Benjamin Mora.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.