Dollah Salleh bingung tinggal satu saat pun boleh seri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang hanya satu saat dipisahkan daripada kemenangan ke atas Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, namun akhirnya terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2.

Penyokong-penyokong Sri Pahang boleh dimaafkan jika mereka menyangkakan tiga mata sudah berada dalam genggaman selepas Abdul Malik Mat Ariff meledak jaringan pada minit ketiga masa kecederaan untuk memberikan kelebihan 2-1.

Ketika menunggu wisel penamat ditiup pada bila-bila masa, tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Josip Ivancic, seminit selepas itu, yang juga sentuhan terakhir permainan.

Ia jelas mengecewakan pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh yang tidak dapat menerima pemainnya mengulangi kesilapan yang dilakukan dalam dua perlawanan terdahulu, sekali lagi.

“Ia perlawanan yang seimbang, kita bermain dengan baik di separuh masa pertama, dalam 20 ke 25 minit yang pertama kemudian hilang tumpuan, giliran Sabah pula menyerang dan dapatkan gol pendahuluan.

“Kalau tengok, kedua-dua pasukan nak dapatkan tiga mata, bermain mati-matian, macam-macam berlaku, saling menyerang, perlawanan pun nampak seronok, cuma itulah, keputusan agak mengecewakan. Kita cuai, tak dapat bertahan.

“Saya bangga dengan permainan yang kita tunjukkan walaupun minit akhir kita buat satu kesilapan, sepatutnya benda ni tak berlaku, dah berapa perlawanan (berlaku) benda sama, tak silap saya tiga perlawanan, kesilapan sama, kecuaian.

“Sepatutnya pemain dah tahu (apa patut dibuat), saya sendiri dah nasihat, dah cakap semua duduk bawah jer, ia satu minit punya hal, tapi yang nampak ada kat bawah pun tak buat kerja.

“Benda ni berlaku dari game lawan Perak, kita dah selesa kemudian bagi Perak skor di minit akhir tapi nasib baik kita menang. Kemudian dengan Melaka pun sama baru-baru ini, dan sekarang berlaku lagi, cuma yang penting kita tak kalah. Pemain kena ingat, dalam bolasepak jangan ambil mudah walau satu atau dua saat.

“Apa sekalipun saya bangga dengan pemain, ada peningkatan banyak, terutama Kenjok (Kenny) walaupun tak skor gol, hari ini baru nampak dia bahaya,” kata Dollah Salleh kepada pemberita selepas perlawanan. © Labola Malaya

Pada perlawanan itu, Sabah FC mendahului menerusi jaringan Josip Ivancic pada minit ke-58 sebelum skuad tok gajah mengikat kedudukan 1-1 menerusi Baqiuddin Samsudin 10 minit kemudian.

Ketika perlawanan dilihat menuju keputusan seri 1-1, Malik Mat Ariff menewaskan Robson Rendy Rining di gawang Sabah FC untuk gol kedua Sri Pahang. Namun hajat mengutip tiga mata berkecai selepas Josip Ivancic merembat masuk dari jarak dekat bola yang terlebih dahulu diselamatkan Helmi Eliza.

Dengan keputusan ini, Sri Pahang kembali tergelincir ke tangga kesepuluh dengan 14 mata. Mereka hanya satu mata di atas zon bahaya.

Foto ehsan : Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.