Dollah Salleh gembira lepas tewas kepada JDT, sudah jumpa formula kebangkitan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang kalah buat kali keenam dalam saingan Liga Super musim ini menyaksikan mereka mengharungi lima perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan selepas tewas kepada Johor Darul Takzim pada Jumaat.

Jika lazimnya setiap kali selepas perlawanan jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh akan meluahkan rasa kecewa terhadap permainan anak buahnya terutama pemain-pemain import serta sentuhan penyudah yang tumpul, berbeza nadanya kali ini.

Bekas pengendali kebangsaan itu bukan sahaja gembira melihat permainan meyakinkan ditunjukkan oleh barisan pemain-pemain muda tetapi dalam masa sama nampaknya sudah menjumpai jalan penyelesaian untuk memperbaiki ketumpulan penyudah, dalam kelibat Malik Mat Arif yang pertama kali diturunkan musim ini.

Pemain itu masuk sebagai pemain gantian dan membuatkan barisan serangan Sri Pahang kelihatan lebih bernyawa tatkala penyerang import Yevhen Bokhashvili terus mempamer aksi mengecewakan manakala Pedro Henrique pula tiada terus dalam senarai.

“Apa pun saya berbangga dengan Malik. Setelah sekian lama tidak beraksi dan baru dua hari datang bersama pasukan selepas mengalami sakit yang misteri, nampak berlaku perubahan kepada pasukan.

“Dia minta kepada saya, kalau boleh nak main 10 hingga 15 minit sahaja. Tetapi saya cakap yang saya hendak gunakannya untuk setengah jam. Kemasukkannya memberi perbezaan di bahagian serangan.

“Jadi, saya berharap dengan adanya Malik dan Nur Izzat (Che Awang) nanti, akan berlaku perubahan kepada pasukan dalam perlawanan seterusnya,” ujar Dollah Salleh.

Dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, JDT melakar kemenangan ketujuh mereka musim ini menerusi jaringan Leandro Velazquez dan Bergson da Silva.

Sri Pahang mungkin boleh mendapat keputusan lebih baik jika tidak kerana terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Mohamad Ezanie Mat Salleh dilayangkan kad merah pada minit ke-69.

“Saya bangga dengan semangat yang dipersembahkan terutama pemain muda yang bermain baik untuk memberi tentangan kepada pasukan pelawat.

“Pemain memberi saingan terutama pada babak kedua perlawanan sebelum pasukan terpaksa beraksi 10 pemain. Apabila kekurangan seorang pemain, ia ternyata memberi kesan terhadap prestasi pasukan walaupun pemain berusaha untuk menghalang JDT daripada mencatat kemenangan,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.