Dollah Salleh Hampir Pasti Kekal Di Sri Pahang Sebagai Pengurus

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Meskipun khidmat Dollah Salleh tidak disambung sebagai jurulatih, individu kesayangan penyokong Sri Pahang itu dijangka akan kekal di bumi Kuantan sebagai pengurus pasukan.

Sri Pahang bakal mengumumkan ketua jurulatih baru mereka tidak lama lagi lantas timbul persoalan mengenai masa depan Dollah Salleh yang telah begitu lama berkhidmat dengan bolasepak Pahang.

Berita Berkaitan : Sri Pahang Sah Lantik Jurulatih Baru, Tapi Bukan Lim Teong Kim

Untuk dia mencari pasukan baru juga mungkin sukar memandangkan hampir kesemua pasukan sudah pun melantik jurulatih, kecuali Terengganu FC yang masih belum menyambung khidmat Nafuzi Zain.

Perak dijangka mengambil jurulatih yang kena dengan bajet mereka, difahamkan Yusri Che Lah adalah orangnya manakala Melaka United dan Penang FC pula masih berteka-teki dengan status Zainal Abidin Hassan dan Thomas Trucha.

Dollah Salleh telah bersama Sri Pahang buat kali pertama pada 2010 hingga 2013 dan kemudiannya datang semula pada 2017 sehinggalah berakhir saingan musim 2021.

Sebagai makluman, sebelum bermula saingan Liga Malaysia 2021, Sri Pahang mengumumkan melantik Thomas Dooley sebagai ketua jurulatih manakala Dollah Salleh sebagai pengurus pasukan.

Beliau mengambil alih pasukan selepas dua perlawanan dan menjadi hero bolasepak Pahang apabila menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke Liga Premier 2022.

Jadi, jika benar maklumat diterima Labola Malaya, Dollah Salleh akan kembali kepada jawatan asal yang diberikan kepadanya pada permulaan musim 2021.

Sri Pahang yang tidak menunjukkan prestasi baik sejak beberapa musim kebelakangan, juga dilaporkan akan membuat rombakan besar pada skuad musim baru dengan beberapa pemain utama dilepaskan termasuklah kesemua pemain import.

Mereka juga sedang dalam rundingan dengan beberapa pemain yang berpengalaman beraksi dalam Liga Super.

Penyokong pasukan itu sebelum ini menyatakan rasa kecewa dengan sikap pengurusan yang dilihat tidak begitu serius membawa perubahan namun dengan perkembangan terbaru ini nampaknya mereka boleh kembali tersenyum dan mengidamkan momen gemilang dapat diulangi.

Kali terakhir Sri Pahang menjulang trofi adalah pada 2018 iaitu Piala FA dengan menewaskan Selangor dalam aksi final.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.