Dollah Salleh : ‘Import pun seorang jer boleh pakai, apa nak buat?’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hanya satu kemenangan dari enam perlawanan Liga Super 2021 yang telah diharungi, membuatkan pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh bimbang sejarah 10 tahun lalu kembali berulang apabila pasukan itu tersingkir ke saingan Liga Premier.

Dia mengakui situasi musim ini paling mencabar sepanjang bersama Sri Pahang dan berdepan keadaan yang cukup sukar bagi menaikkan semula moral para pemain namun enggan pemain-pemainnya mengibarkan bendera putih.

“Kalau tengok pada pasukan, memang sebelum saya ambil pun sudah nampak dalam keadaan bermasalah dan sekarang dalam fikiran saya hanya tidak mahu pasukan ini jatuh ke Liga Premier, itu sahaja sasaran paling realistik yang saya rasa sesuai buat pasukan dalam masa ini.

“Pemain utama dalam pasukan ini hampir 70 ke 80 peratus telah keluar dan situasi itu sememangnya cukup sukar memandangkan pemain-pemain utama yang kita ada sekarang bukanlah terdiri daripada mereka yang selalu bermain dalam Liga Super.

“Selepas itu, pemain import selain Lee Tuck juga tidak banyak membantu yang meletakkan pasukan ini bertambah parah serta sukar bagi cabaran kepada pencabar lain.

“Bagaimanapun saya tidak mahu menjadikan itu sebagai satu alasan, kita kena berjuang apa jadi sekali pun dan saya selalu berpesan kepada pemain untuk sentiasa menunjukkan karekter untuk menang biarpun perbandingan Sri Pahang dengan pasukan lain agak jauh.

“Jangan tunjukkan yang kita lemah dan sudah berputus asa sebelum masuk padang, perkara itu hanya akan membuatkan lawan lagi berasa yakin untuk tewaskan pasukan,” kata Dollah Salleh.

Kemenangan tunggal Sri Pahang setakat ini ialah semasa menewaskan Sabah FC, 2-1 di laman sendiri pada perlawanan keempat Liga Super selain satu lagi mata ketika mengikat Melaka United 0-0 di Stadium Hang Jebat.

Mereka tewas dalam empat perlawanan kepada Selangor, Perak, PJ City dan terbaru Kedah.

Gandingan dua penyerang import, Pedro Henrique Oliveira dan Yevhen Bokhashvili dilihat kurang menyengat dengan mereka berdua setakat ini hanya mampu menyumbang satu daripada empat jaringan yang dihasilkan Sri Pahang.

Selain itu, Sri Pahang merupakan pasukan kedua yang menghasilkan gol paling rendah dalam saingan Liga Super musim ini selain rekod pertahanan yang paling mudah dibolosi iaitu 10 gol bersama UiTM FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.