Dollah Salleh mungkin pertaruh pemain Piala Presiden jumpa JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui persiapan pasukannya menjelang aksi pertama Liga Super selepas lebih lima bulan menentang Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur pada Jumaat ini sedikit terencat dan tidak berada pada tahap yang diharapkan.

“Skuad yang saya ada sekarang belum bersedia sepenuhnya kerana jika dilihat pada beberapa perlawanan persahabatan, saya cukup resah perhatikan tahap kecergasan pemain-pemain utama.

“Ditambah hampir semua pemain import saya baharu pulih daripada kecederaan seperti Herold Goulon, Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos, saya akui berdepan cabaran yang cukup hebat untuk hadapi perlawanan pertama, tambah-tambah bertemu JDT.

“Setakat ini, jika dilihat kepada tahap kecederaan, mereka kemungkinan tidak dapat diturunkan tetapi bergantung kepada keadaan. Jika diikutkan memang saya mahu mereka bermain tetapi perlu memikirkan risiko apabila menurunkan mereka,

“Malah dalam beberapa perlawanan persahabatan lalu, saya banyak menguji pemain dari skuad Piala Presiden kerana mahu menguji semua pemain yang kami ada dan semuanya baharu di peringkat membina persefahaman.

“Apa jua keputusan dengan JDT selepas ini, saya akan cuba pastikan Pahang akan berada di tahap terbaik bagi harungi baki perlawanan yang tinggal di Liga Super dan walaupun bermain tanpa penyokong, kami akan cuba tampil dengan penuh bersemangat,” kata Dollah.

Sebagai rekod, Pahang juga kehilangan khidmat Khalil Khamis yang sangkut di Lubnan.

Skuad tok gajah ketika ini di tangga keempat liga dengan enam mata manakala JDT pula sedang menerajui liga dengan 10 mata.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu masih belum tewas selepas empat perlawanan, dan dilihat berada dalam motivasi yang baik untuk meneruskan momentum kemenangan setelah mencatat dua kemenangan besar dalam perlawanan persahabatan.

Selain pertemuan Pahang-JDT, turut berlangsung minggu ini adalah perlawanan antara Perak-Melaka; Selangor-PJ City; Terengganu Fc-Sabah; Felda United-Uitm FC dan PDRM FA-Kedah.

Foto : Pahang FA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.