Dollah Salleh tolak tanggapan kena ‘scam’ lagi dengan penyerang import

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jaringan tunggal Aung Kaung Mann menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Sri Pahang ke atas PJ City FC di Stadium Darulmakmur pada Ahad.

Ia sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan dan membantu untuk semakin menjarakkan diri dari zon penyingkiran.

Namun, Sri Pahang sepatutnya menang dengan lebih banyak jaringan dan berpesta gol jika tidak kerana ketumpulan jentera serangan diketuai Kenyok Wal Athiu (Kenny Athiu) yang mensia-siakan deretan peluang keemasan.

Ia jelas mengecewakan penyokong setia tok gajah yang mula geram dengan prestasi Kenny Athiu yang dilihat lembik dan tidak membawa impak sejak beberapa perlawanan yang lalu, tidak kurang ada yang melabel Sri Pahang sekali lagi kena ‘scam’ dengan awang import.

Pada awal musim tempoh hari, skuad tok gajah membawa masuk Pedro Henrique dan Yevhen Bokhashvili untuk mengepalai barisan serangan.

Namun khidmat kedua-dua pemain itu bersama-sama dua lagi import iaitu Lee Tuck dan Mamadou Wague digantikan dengan Kenny Athiu, Aung Kaung Mann, Manuel Hidalgo dan Abubakar Yakubu di jendela perpindahan kedua.

Setakat ini hanya Manuel Hidalgo yang betul-betul menyerlah, manakala Aung Kaung Mann dan Kenny Athiu (pemain paling teruk dikecam) dilihat perlu bekerja keras untuk memenangi hati penyokong.

Bagi Dollah Salleh, beliau menolak tanggapan Sri Pahang kena ‘scam’ sebaliknya mempertahankan bahawa masing-masing hanya tidak dapat menyerlahkan kualiti permainan sebenar mereka pada perlawanan ini mungkin kerana beberapa faktor.

“Memang Kenny sendiri ada 3 atau 4 peluang untuk jaringkan gol, tapi itulah malam ini bukan malam dia. Apapun saya percaya prestasi Kenny semakin meningkat sejak kebelakangan ini, cuma pada perlawanan ini terutama di separuh masa pertama dia nampak lembik tak bermaya.

“Tapi walaupun dia main macam tu, dia dapat peluang banyak, sebelum ini kurang dapat peluang, dan dia juga banyak bantu mencipta peluang untuk pasukan.

“Pemain-pemain sebenarnya mungkin terlalu fikir nak jaga kelebihan satu gol, tak nak kesilapan sama berulang jadi tak dapat main macam biasa, mereka terlalu tumpukan nak bertahan dan faktor keletihan kerana jadual yang padat. Hidalgo sendiri sampai tak boleh nak buat apa dah menuju minit-minit akhir,” ujar Dollah Salleh.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu tidak menolak Sri Pahang akan terus bermain seperti ini dalam usaha memburu tiga mata dalam baki perlawanan dan terus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Foto : MFL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.