Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakDollah Salleh pulihkan keyakinan dan semangat Lee Tuck

Dollah Salleh pulihkan keyakinan dan semangat Lee Tuck

Selepas menjadi sasaran kritikan penyokong Sri Pahang FC kerana aksi kurang ‘umphh’ dan tidak menepati ekspetasi dalam tiga perlawanan awal Liga Super 2021, pemain tengah Lee Tuck akhirnya menunjukkan karakter sebenar apabila menjadi tunjang pasukan itu meraih kemenangan pertama dengan menewaskan Sabah 2-1 pada Selasa.

Selain terlibat di dalam build up untuk gol pertama, pemain berusia 33 tahun itu menjaringkan satu gol menerusi tandukan sekaligus menunjukkan kepada penyokong bahawa sentuhannya belum lagi berkarat malah sudah bersedia untuk tampil lebih garang dalam aksi selepas ini.

Lee Tuck yang baru berhijrah ke Sri Pahang FC pada musim ini mengakui pada awalnya dia bergelut kerana masih dalam fasa mencari rentak dan keserasian bersama rakan sepasukan sewaktu perlawanan pertama dan kedua yang mana pasukan itu tewas kepada Selangor FC dan Perak FC.

Mereka kemudiannya terikat tanpa jaringan menentang Melaka United FC.

Namun dia berterima kasih kepada pengendali Dollah Salleh yang tidak berputus asa memulihkan semangat dan keyakinannya malah lebih penting terus meletakkan kepercayaan tinggi ke atasnya yang mendorongnya untuk bangkit membuktikan sesuatu.

“Satu kelegaan untuk diri saya dan pasukan apabila akhirnya berjaya meraih tiga mata pertama dan ia sangat bermakna untuk kami meneruskan aksi pada musim ini dengan lebih baik.

“Kami sebenarnya sentiasa memperbaiki diri dalam setiap perlawanan dan daripada aspek serangan juga bertambah baik, yang penting semua pemain hanya ikut apa yang diajar oleh jurulatih dan daripada situ kami bina tahap keyakinan untuk lebih bersemangat dalam perlawanan semalam.

“Semestinya dengan satu gol yang saya lakukan semalam membuatkan semangat ini terus meniggkat untuk saya cuba memburu lebih banyak gol, tetapi apa yang penting adalah untuk bantu menghadiahkan mata buat pasukan,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Darul Makmur itu, Yevhen Bokhashvili yang turut dikritik penyokong selepas tumpul dalam tiga perlawanan terdahulu meledak gol pertama yang berpunca dari hantaran sepakan percuma Lee Tuck, sebelum Lee Tuck menanduk masuk gol kedua pada minit ke-71.

Dollah nyata berpuas hati dengan aksi yang telah ditampilkan oleh kesemua pemain terutamanya Lee Tuck dan menyifatkannya antara pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Foto ehsan : Sri Pahang FC

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.