Dollah Salleh Sebak, Terima Hakikat Sri Pahang Bakal ‘Bungkus’ Awal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang FC tewas lagi, kali ini di tangan Sarawak United dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia 2021.

Jaringan Tommy Mawat Bada memastikan kemenangan 1-0 buat Sarawak United lantas melonjakkan mereka selaku pendahulu kumpulan dengan enam mata tatkala skuad Dollah Salleh kekal tanpa sebarang mata.

Lebih malang buat Sri Pahang, ini adalah kekalahan ketujuh berturut-turut mereka dan wajah sugul Dollah Salleh menceritakan betapa dia sudah putus harapan dengan barisan pemainnya.

Melihat reaksi pengendali itu yang bercakap dalam nada sebak dan suara tersekat-sekat ketika sidang media, jelas dia sendiri sudah ‘habis cara’ untuk memulihkan prestasi Sri Pahang dan seolah pasrah menerima hakikat sukar untuk mereka terus mara dalam saingan kali ini.

“Kita ni bermain setakat main bola jer lah, control bola kat tengah padang tapi tak cipta peluang, tak skor gol maka kita terima padah dia. Saya tengok kita nak cipta peluang untuk satu gol pun susah, ini masalah Sri Pahang memang saya dekat luar padang pun tunggu bila masa kita nak cipta peluang.

“Dalam training semua kita dah buat macam-macam, sampai saya sudah tak tahu macam mana lagi nak buat. Benda sama berlaku, jadi kita kena terimalah hakikat.

“Kita susah nak gerakkan bola dengan lancar, dari tengah ke striker asyik sangkut. Begitu mudah sekali pihak lawan patahkan serangan. Dalam latihan kita dah perbaiki, tapi nampaknya benda ni terpaksa ditekankan lagi sebab ini masalah utama kita.

“Saya juga lihat kita ada masalah individualistik. Saya amat mengharapkan disiplin yang tinggi daripada pemain. Bila menyerang, bila bertahan, bila hilang bola kena turun bantu kawan tapi itulah masing-masing lebih kepada nak individu dan tidak tunjukkan semangat berpasukan,” ujar Dollah Salleh.

Sri Pahang membuka tirai aksi Piala Malaysia Ahad lalu dengan kekalahan 1-3 kepada KL City.

Selepas ini saingan Piala Malaysia berehat selama sebulan bagi memberi laluan kepada kalendar antarabangsa dan hanya akan bersambung semula pada penghujung Oktober.

Secara matematik, peluang masih terbuka luas buat Sri Pahang memburu tiket ke suku akhir tetapi dengan syarat mereka tidak lagi mencicirkan mata dalam perlawanan selepas ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.