Dollah Salleh Sudah Lali Dengan Spekulasi, Tidak Tertekan Fikir Masa Depan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh mengakui tidak terlalu tertekan memikirkan masa depannya bersama pasukan itu pada ketika penyokong mahu dia disingkirkan susulan prestasi buruk musim ini.

Laungan #DollahOut semakin kuat kedengaran selepas pasukan mengharungi tujuh perlawanan terakhir tanpa kemenangan tetapi menurut Dollah Salleh, tumpuannya hanyalah mahu meletakkan kembali Sri Pahang ke kedudukan yang lebih baik.

“Sebenarnya saya sudah lali dengan benda-benda seperti ini sebab macam-macam rintangan saya dah tempuh dalam karier.

“Ada pahit dan ada manis, jadi saya tiada nak fikir negatif sangat pun mengenai perkara macam ini dan nak cakap tertekan sangat pun, tiada la sampai macam tu.

“Yang penting sekarang, saya tetap positif dan saya lebih fikirkan untuk macam mana kita nak tempuh bagi perlawanan-perlawanan akan datang, itu sahaja,” ujar Dollah Salleh.

Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan ke-10 selepas hanya mengutip 18 mata, dua mata mengatasi Perak FC yang tersingkir ke Liga Premier.

Manakala dalam saingan TM Piala Malaysia, Sri Pahang masih belum meraih sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan ketika menentang Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United FC.

Menurut Dollah Salleh, beliau akan memikirkan jalan terbaik untuk memastikan pasukan tidak tersingkir awal musim ini bagi mengelakkan tragedi 2016 berulang kembali.

Juara empat kali Piala Malaysia yang ketika itu dibimbing Razip Ismail gagal ke suku akhir sebelum Dollah Salleh kembali membimbing pasukan pada musim 2017 dan berjaya mara sehingga ke separuh akhir pada tahun 2019.

Justeru, pengendali berusia 58 tahun ini menyifatkan masih belum terlambat untuk barisan pemain kembali mendapatkan prestasi terbaik bagi terus berjuang memburu kemenangan pertama.

Apa yang pasti, mereka perlu belajar daripada kesilapan yang lalu dan kembali memperbaiki kelemahan dalam tempoh rehat selama hampir satu bulan sebelum kembali beraksi.

“Secara jujur, memang saya boleh katakan agak bergelut untuk mara ke suku akhir, tetapi sekarang bukan masa untuk mengangkat bendera putih sebab macam-macam mana pun kami kena terus berjuang juga.

“Sekarang saya nak pemain-pemain lupakan apa yang pasukan sudah lalui sebelum ini dan fokus untuk perlawanan akan datang sebab kalau mereka terus fikirkan kekalahan demi kekalahan yang lepas, memang benda ini akan berterusan seperti itu.

“Masing-masing kena fikir macam mana kita nak atasi benda ini dan untuk dapatkan balik kemenangan sebab kita bukan tiada peluang, masih ada peluang lagi nak menang, cuma kena lebih positif dan perbaiki balik kelemahan”, jelasnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.