Dollah Salleh tak faham macam mana situasi 50-50 boleh kena kad merah terus

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Isu pengadilan nampaknya mencuri tumpuan lagi, kali ini berikutan kad merah dilayangkan kepada pemain pertahanan Sri Pahang FC Herold Goulon dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC pada Jumaat.

Herold Goulon diperintah keluar padang seawal minit ke-17 perlawanan selepas didakwa menjatuhkan Kpah Sherman, di mana pengadil Nazmi Nasaruddin melayangkan ‘direct red card’ kepada pemain itu.

Bagi pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh, dia tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan dan menyifatkan ia antara faktor kekalahan 1-3 kepada Kedah yang juga kekalahan keempat dialami pasukannya musim ini.

Tonton klip rangkuman di bawah bermula saat ke-30 untuk melihat insiden tersebut. 

“Layangan kad merah itu sebenarnya membuatkan kita bermain dalam keadaan tertekan kerana sebelum itu kami sudah beraksi dengan baik.

“Matlamat untuk mendapatkan kemenangan ataupun sekurang-kurangnya seri terbantut. Memang saya agak kecewa dengan keputusan itu, dan kami di luar padang pun tak sangka pengadil keluarkan kad merah dan kedudukan masa itu saya rasa Herold Goulon dan Kpah Sherman dalam situasi 50-50.

“Tapi inilah bolasepak, kita kena terima hakikat ini, kami terpaksa buat satu perancangan baharu selepas menyamakan kedudukan dan ubah corak permainan,” kata Dollah Salleh yang turut kecewa dengan penyerang importnya yang tumpul.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman itu, kedudukan masih terikat tanpa jaringan ketika Herold Goulon dilayangkan kad merah, dan selepas itu Kedah mengambil alih penguasaan permainan, berjaya memecah kebuntuan menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ke-37.

Nur Izzat Che Awang menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama selepas menerima hantaran cantik Nur Azam Azih, tetapi ternyata bermain dengan 10 pemain membuatkan Sri Pahang gagal menangani tekanan dan melepaskan dua gol di babak kedua.

Kpah Sherman menyempurnakan penalti pada minit ke-48 dan Baddrol Baktiar melengkapkan kemenangan keempat buat Kedah bimbingan Aidil Shahrin Sahak.

Sri Pahang yang sebelum ini telah merehatkan Thomas Dooley sedang meniti musim terburuk mereka sejak 2016 – ketika itu mereka tewas lima daripada enam perlawanan pertama dan menamatkan musim di tangga kesembilan dengan 24 mata.

Berdasarkan prestasi semasa, penyokong tok gajah khuatir mereka mungkin tamatkan musim lebih buruk berbanding 2016.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.