Dollah Salleh tergamam dengan gol cantik Nik Sharif Haseefy

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain muda Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim mencuri tumpuan apabila jaringan cantiknya membantu Pahang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kedah pada Sabtu.

Ketika perlawanan separuh masa kedua baru seminit bersambung, Nik Sharif Haseefy menerima bola hantaran Faisal Halim dan menggelecek masuk ke dalam kotak penalti, dan melepaskan rembatan menewaskan Shahril Shaari di gawang Kedah.

Ia jaringan sulung pemain itu dalam Liga Super musim ini, tetapi bukan sahaja menghadiahkan tiga mata buat tok gajah, tetapi dalam masa sama menoktahkan rentak lima kemenangan berturut-turut Kedah sebelum ini.

Dan pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui tergamam dengan gol itu, sambil menyifatkan Nik Sharif Hassefy mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Nik Sharif ni dia ada keistimewaan dia, tapi mungkin sebab masih muda, jadi tahap keyakinan belum sampai ke tahap yang diinginkan (untuk buat sepertimana pada malam ini).

“Dalam latihan dia selalu menyerlah, jadi ketika separuh masa pertama saya cakap kat dia, ini masanya untuk dia buat, dapat bola gelecek lawan, kena yakin.

“Dan pada separuh masa kedua, saya pun tak sangka, begitu awal dia buat, dapat bola menggelecek dan skor gol minit awal separuh masa kedua, membuatkan pemain-pemain lagi bersemangat,” kata Dollah Salleh.

Pada perlawanan di Stadium Darulmakmur itu, Kedah terlebih dahulu di depan menerusi Kipre Tchetche (m-15) namun Pahang menyamakan kedudukan menerusi Adam Reed (m-40).

“Semua pemain beri aksi terbaik malam ini, pada separuh masa pertama kita kuasai perlawanan tapi satu kesilapan membolehkan Kedah serang balas, kesilapan juga oleh Helmi Eliza dan Kedah skor gol. Tapi kita tidak berputus asa untuk bangkit memastikan kemenangan.

“Kalau lihat selepas liga kembali bersambung, kita kalah dua perlawanan, ditambah dengan bermacam-macam isu, tapi selepas menang dengan PDRM FA, seri dengan Felda United, ada perubahan pada permainan, nampaknya pemain-pemain dapat lupakan isu, mereka dapat membuktikannya dan diharap ini menjadi tonik, satu suntikan untuk perlawanan akan datang,” ujar Dollah Salleh lagi.

Kemenangan menyaksikan Pahang mengumpul 13 mata dan menghidupkan peluang tipis untuk terus mengejar kedudukan dua teratas.

Foto : Pahang FA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.