Dollah Salleh : “Tiada perlawanan persahabatan punca hilang fokus”

Dollah Salleh gembira
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh kecewa pasukannya kehilangan dua mata ketika menentang Melaka United gara-gara melepaskan gol penyamaan minit akhir.

Sri Pahang mendahului seawal minit pertama menerusi tandukan penyerang berbisa mereka Manuel Hidalgo tetapi gagal untuk mendapatkan tambahan jaringan selepas itu, meskipun mempunyai beberapa peluang termasuk menerusi sepakan penalti yang tidak berjaya disempurnakan Herold Goulon pada minit ke-70.

Pemain gantian, Wan Zaharulnizam Zakaria muncul wira Melaka United apabila meledak jaringan penyamaan beberapa minit sebelum tamat permainan untuk perlawanan di Stadium Darul Makmur itu berkesudahan 1-1.

Ketika dihubungi Labola Malaya, Dollah Salleh tetap memberikan kredit kepada barisan pemain Sri Pahang di atas komitmen yang ditunjukkan, tetapi kecewa kerana apa yang dibimbanginya berlaku juga iaitu hilang fokus minit akhir.

“Kita sedar perlawanan di tempat sendiri, perlu meraih tiga mata untuk keluar dari zon bahaya. Kita bermula dengan baik, saya memberikan kredit kepada pemain-pemain atas kerja keras mereka, saya berbangga rata-rata memberi komitmen 100 peratus.

“Dapat satu mata kira ok lah, saya terpaksa terima hakikat cuma itulah, apa yang saya khuatirkan, apa yang saya jangka berlaku juga, perlu diakui kita kekurangan match fitness selepas berehat dua bulan, apatah lagi tiada perlawanan persahabatan berintensiti tinggi, jadi ketika masuk minit-minit akhir pemain nampak keletihan, menyebabkan pertahanan mula hilang tumpuan dan Melaka ambil kesempatan, memang saya dah jangka benda ni.

“Kita juga ada peluang menerusi penalti tapi sayangnya kita tak dapat manfaatkan, manakala ada percubaan pada minit akhir terkena tiang. Memang tiada rezeki kita malam ini untuk meraih kemenangan,” kata Dollah Salleh.

Beliau juga memuji peranan dan permainan yang ditunjukkan oleh Abdul Malik Mat Arif yang menjadi duri dalam daging buat Melaka United.

“Kita banyak mengharapkan kepada gerakan-gerakan daripada Malik sejak dari awal permainan. Kita perlu setuju untuk mengatakan malam ini dia yang porak-perandakan pertahanan Melaka.

“Kita dapat gol pertama dari dia, penalti pun melalui dia, yang minit akhir kena tiang pun dia, saya puas hati tengok gandingan dia dan Hidalgo semakin mantap. Mereka bermain seperti apa yang saya mahukan,” ujar Dollah Salleh lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.