Dollah Salleh tidak tahu sampai bila Dickson akan tersisih

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengesahkan kelibat Dickson Nwakaeme sekali lagi tidak dapat diturunkan apabila pasukannya melayan kunjungan pasukan tangga kedua Kedah di Stadium Darulmakmur, pada Sabtu.

Selain itu dia juga kehilangan khidmat pemain sayap Gopi Rizqi yang digantung satu perlawanan gara-gara mengumpul tiga kad kuning, manakala Ivan Carlos pula masih dalam situasi 50-50 untuk diturunkan.

“Jika Dickson ada bersama pasukan, saya mungkin boleh rasa lega sedikit untuk berjumpa Kedah tetapi dia memang tidak boleh bermain lagi dan saya pun tidak pasti sampai bila.

“Begitu juga dengan Ivan yang belum cergas tetapi buat masa ini mungkin Herold Goulon dapat diturunkan.

“Ini sahaja yang menjadi masalah kepada saya sekarang iaitu tidak dapat menurunkan barisan terbaik dalam beberapa perlawanan lalu dan harap semua pemain sudah boleh bersedia sebaik Piala Malaysia bermula,” katanya.

Di sebalik beberapa kekangan ini, Dollah Salleh tetap menaruh harapan tinggi terhadap barisan pemainnya biar siapapun lawan yang ditentang dalam usaha mereka untuk memperbaiki kedudukan di Liga Super.

Dalam empat perlawanan diharungi selepas Liga Malaysia kembali bersambung, Pahang tewas kepada JDT 2-3 dan Uitm FC 0-1, menang ke atas PDRM FA 2-1 dan kemudiannya seri 2-2 menentang Felda United.

Ini menyaksikan mereka menduduki tangga ketujuh Liga Super dengan 10 mata dan kemenangan ke atas Kedah yang telah menang lima perlawanan berturut-turut adalah penting untuk cuba mengintai kedudukan dua teratas.

“Saya tidak kisah dengan apa yang sedang dilalui Kedah kerana kami akan harungi apa sahaja dan siapa lawan kami, Pahang sentiasa bersedia.

“Sama ada kami berjumpa Kedah, Felda atau PDRM sekali pun, kami tidak akan membeza-bezakan lawan dan semua perlawanan adalah sama buat saya.

“Dalam kedudukan pasukan sekarang,saya masih percaya dengan pemain-pemain walaupun tidak nafikan buat masa ini saya terpaksa bergantung kepada sebahagian pemain muda.

“Cuma saya bangga melihat peningkatan yang dipamerkan oleh mereka dalam beberapa perlawanan lalu dan saya yakin ia tidak jadi masalah besar kepada pasukan,” kata Dollah Salleh.

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.