Dollah Salleh yakin masanya telah tiba untuk Sri Pahang akhirnya mengganas

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya pada 24 April ini adalah masa yang tepat untuk Sri Pahang FC menterjemahkan karakter sebenar mereka.

Itu laungan keyakinan pengendali skuad tok gajah, Dollah Salleh dan keyakinannya itu ada asas kerana dia melihat banyak perubahan positif di dalam pasukan selepas kekalahan kepada Johor Darul Takzim pada Jumaat lalu.

“Kita akan dapat gunakan semula khidmat Herold Goulon yang tidak bermain ketika menentang JDT kerana kecederaan, kehadirannya sudah tentu sangat diharapkan di barisan pertahanan. Selain itu pemain-pemain muda dilihat semakin yakin manakala Malik Mat Ariff dan Zuhair Aizat sudah kembali ke kecergasan penuh.

“Seperti saya selalu katakan masalah utama kita adalah ketumpulan penyudah, jadi dengan perkara-perkara positif yang saya lihat di dalam pasukan ini saya yakin dapat membantu kita tampil lebih mantap, ketumpulan penyudah juga akan terlerai dan akhirnya kita dapat keluar dari prestasi buruk.

“Kita tahu Penang FC juga bukan calang-calang pasukan, mereka telah tampil dengan prestasi mengagumkan dan meraih mata dalam perlawanan-perlawanan penting, tetapi jika kita dapat ulangi prestasi yang baik sepertimana ketika lawan JDT, tidak mustahil kita akan pulang dengan tiga mata,” kata Dollah Salleh kepada Labola Malaya.

Sri Pahang ketika ini sedang mengharungi prestasi terburuk dalam sejarah penyertaan mereka dalam Liga Super apabila hanya menang sekali dalam sembilan perlawanan, selain telah tewas sebanyak enam kali.

Selain tewas 0-2 kepada JDT, lima lagi kekalahan Sri Pahang adalah di tangan Selangor FC, Perak FC, PJ City, Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur City manakala satu-satunya kemenangan mereka dalam Liga Super 2021 adalah menentang Sabah FC pada perlawanan keempat.

Dengan hanya lima mata, Sri Pahang berada di tangga kedua tercorot Liga Super 2021, dipisahkan dua mata dengan Melaka United yang menduduki tangga ke-10.

Mereka juga adalah pasukan kedua paling sedikit menjaringkan gol iaitu hanya enam gol setakat ini. manakala 15 gol yang dilepaskan menjadikan pasukan itu adalah pasukan kedua paling banyak dibolosi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.