Dollah yakin sejarah tak berulang, mahu Harimau Malaya balas dendam

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tanggal 3 September 2015, tercatat detik hitam dalam sejarah bolasepak Malaysia apabila pasukan kebangsaan mengalami kekalahan memalukan 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi.

Kekalahan itu kemudiannya menyaksikan ketua jurulatih ketika itu Dollah Salleh mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan.

Selepas enam tahun, skuad Harimau Malaya kembali bertandang ke bumi Abu Dhabi untuk pertembungan getir menentang UAE pada tengah malam Khamis dengan misi mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya di kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dan menebus maruah yang pernah diaibkan.

Dollah Salleh berkeyakinan tinggi sejarah lama tidak akan berulang mengambil kira kekuatan semasa skuad yang dilihat jauh lebih baik, dalam masa sama menaruh harapan barisan pemain yang diberi kepercayaan Tan Cheng Hoe akan dapat melakar kejutan seterusnya membalas dendam kekalahan yang masih berbekas di hatinya itu.

“Kami memiliki barisan pemain individu yang terbaik kali ini. Saya berharap pasukan mampu membalas dendam ke atas UAE dalam perlawanan ini. Saya percaya ia sukar namun jika sentuhan pemain-pemain seperti Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan lain-lain menjadi, Malaysia berpeluang untuk menang,” kata Dollah Salleh kepada Nadi Arena.

Ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 2019, skuad Harimau Malaya tampil dengan aksi bertenaga dan berjaya mendahului seawal minit pertama menerusi Syafiq Ahmad sebelum akur dengan kekalahan 1-2.

Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools, Dollah Salleh berpendapat Tan Cheng Hoe tidak mengambil risiko menurunkan pemain itu terlalu awal kecuali keadaan mendesak, kerana menurutnya apa yang penting adalah persefahaman.

Selepas pertembungan dengan UAE, harimau malaya akan berdepan dengan Vietnam pada 11 Jun disusuli Thailand pada 15 Jun dalam aksi penutup Kumpulan G.

Adalah penting untuk meraih mata semaksima mungkin dalam tiga perlawanan terakhir ini kerana jika harimau malaya berkesudahan sebagai naib juara Kumpulan G, enam mata yang diraih ke atas Indonesia tidak akan dikira di dalam menentukan empat naib juara terbaik pusingan kelayakan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.