Donnarumma diselar pentingkan duit dan tiada integriti

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gianluigi Donnarumma mungkin diangkat sebagai wira yang membantu Itali menjulang kejuaraan Euro 2020, tetapi dia tidak terlepas dari menjadi subjek kecaman susulan keputusan meninggalkan AC Milan dan menyertai Paris Saint Germain secara perpindahan percuma.

Bekas pengendali AC Milan, Arrigo Sachi bukan sahaja kecewa dengan keputusan Donnarumma yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Euro 2020 tetapi dia turut menyelar pemain muda itu sebagai pentingkan duit berbanding integriti.

“Saya bercakap kerana saya telah berpeluang bertemu dengannya beberapa kali dan melihat dia sebagai seorang yang lebih matang dari usia. Jadi, saya mempunyai satu pandangan yang cukup tinggi terhadapnya, tetapi saya tidak boleh sembunyikan kekecewaan ini.

“Jika dia gembira dengan Milan, kelab yang membangun dan mengembangkan potensi dia, menjadikan dia yang hari ini, dia sepatutnya kekal. Dalam hidup, seharusnya ada rasa penghargaan kepada mereka yang memberikan awak peluang yang penting dan ini adalah satu peluang terbaik untuk dia membuktikannya.

“Kita juga jangan lupa, kelab ini (Milan) juga menawarkannya satu kontrak yang lumayan, jadi kenapa nak keluar, kenapa mendesak keadaan?” ujar Sachi.

Sumber : Italy24news

Dia juga mengimbau semula nasib dua bekas pemain AC Milan, Kaka dan Andrei Shevchenko yang keluar daripada kelab kerana ditawarkan gaji lumayan.

“Di Milan sendiri, ada kes yang boleh dijadikan contoh. Saya bercakap mengenai Shevchenko dan Kaka. Shevchenko menyertai Chelsea kerana duit, begitu juga Kaka menyertai Real Madrid kerana duit, kedua-duanya gagal.

“Donnarumma selalu cakap sayangkan kelab ini, tetapi meninggalkan kelab yang anda sayang sentiasa merupakan keputusan yang berisiko. Saya tidak faham bagaimana dia boleh tinggalkan tempat yang dia sudah gembira ke satu tempat yang dia tidak pasti semata-mata kerana duit.

“Kalau dia cakap saya tidak gembira di Milan, maka saya faham, dia wajar berpindah. Tetapi dia tak pernah ungkapkan dia tidak gembira, apa yang selalu saya dengar dia sayang Milan, sentiasa mencium lencana di baju.

“Jadi, apabila dia buat keputusan ini, pada saya dia terlepas satu peluang untuk menunjukkan bahawa dia manusia berintegriti dan tidak boleh sesenang itu dipancing dengan wang ringgit dan mungkin, dia tidak akan menyesal di masa depan.

“Saya tidak tahu, duit tidak boleh menjadi objektif utama seseorang profesional, tetapi ia adalah suatu keperluan yang normal,” kata Sachi.

Setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat Donnarumma akan menyertai PSG namun dia difahamkan telah bersetuju menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab gergasi Ligue 1 itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.