Borussia Dortmund menerima tamparan apabila penyerang baru dibeli, Sebastien Haller dikesan mempunyai ketumbuhan di buah zakar yang memaksanya meninggalkan kem latihan pramusim di Switzerland.
Bintang Ivory Coast itu menyertai kelab Bundesliga berkenaan awal bulan ini sebagai pengganti Erling Haaland yang berpindah ke Liga Perdana Inggeris untuk menyarung jersi Manchester City.
“Selepas ujian intensif dijalankan, satu ketumbuhan akhirnya ditemui di bahagian buah zakar. Untuk hari mendatang, ujian lanjut akan dilakukan di pusat perubatan pakar,” menurut kenyataan rasmi Dortmund.
Dortmund membayar Ajax sebanyak 31 juta euro (RM140.05 juta) bagi mendapatkan pemain berusia 28 tahun itu selepas dia menjaringkan 47 gol dalam 65 penampilan bersama kelab Belanda itu.
“Berita hari ini adalah satu kejutan kepada Sebastien Haller dan kami semua. Keseluruhan keluarga Borussia Dortmund mendoakan pemulihan Sebastien secepat mungkin supaya kami dapat memeluknya sekali lagi,” kata pengarah sukan Dortmund, Sebastian Kehl dalam satu kenyataan.
“Kami akan lakukan apa sahaja bagi memastikan dia menerima rawatan terbaik,”.
Perlawanan pertama Dortmund dalam musim baharu Bundesliga ialah berdepan Bayer Leverkusen pada 8 Ogos, lapan hari selepas menentang pasukan divisyen ketiga, 1860 Munich pada pusingan pertama Piala Jerman – AFP
Foto kredit : Transfermarkt.com