Dua bekas jurulatih saman Agong dan UniKL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua bekas jurulatih pasukan hoki UniKL pada tahun 2011, Darren Campbell Smith dan Mathew John Toh Kiong memfailkan saman ke atas Canselor UniKL iaitu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta pengurus pasukan hoki UniKL Dato’ Amir Azhar Ibrahim.

Menurut portal Free Malaysia Baru, perkara ini mungkin tidak meleret sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik YDP Agong seandainya Amir Azhar yang juga Ketua Pegawai Pemasaran dan Perancangan UniKL menjelaskan tunggakan gaji sepertimana dijanjikan kepada Darren Campbell dan Matthew John.

Ia lantas menjadi punca mereka membuat keputusan menghantar notis tuntutan pembayaran gaji itu menerusi Tetuan Fahmi Zhafri Ashraf & Co pada awal Disember lalu.

Menerusi dokumen yang didedahkan, Darren Campbell yang berasal dari New Zealand menuntut bayaran sebanyak NZD 4,077.69 (RM11,509.26) iaitu gaji bagi bulan November dan Disember 2010, serta Januari hingga Mac 2011.

Manakala Matthew yang berasal dari Australia pula menuntut bayaran sebanyak USD 16,863.49 (RM68,270.15) merangkumi gaji bulan Mei hingga Disember 2011, serta Januari dan Februari 2012.

Kedua-dua mereka menuntut bayaran dibuat dalam tempoh 14 hari notis dikeluarkan.

Sebagai rekod, UniKL menduduki tangga keempat Liga Hoki Malaysia pada tahun 2010-2011 tetapi kandas di peringkat suku akhir dalam saingan piala.

Amir Azhar disiasat kerana skandal rasuah

Portal yang sama melaporkan bahawa pada bulan lalu, Amir Azhar bersama-sama Setiausaha pasukan hoki UniKL Shalieza Razali disiasat kerana terlibat dengan skandal rasuah dan penipuan dalam memalsukan tandatangan penerima elaun pelajar UniKL.

Mereka juga didakwa terlibat dalam beberapa salah laku lain malahan laporan polis dikatakan telah lama dibuat ke atas individu-individu yang terlibat tetapi dilindungi oleh Presiden UniKL ketika itu, Prof Dato’ Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Mazliham bagaimanapun telah pun ditamatkan kontrak pada bulan Jun lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.